Tokoh perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary tidak bercadang untuk membeli saham di dalam Utusan Melayu (Malaysia) Berhad buat masa ini, demikian menurut kenyataan semalam.

Sehubungan itu, kenyataan yang dikeluarkan pejabat beliau itu menafikan laporan media sebelum ini yang menyatakan Syed Mokhtar bercadang menambah kepentingannya dalam Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan akhbar berbahasa Inggeris The Star pada 24hb Januari 2007 yang melaporkan perkara tersebut. Bernama turut melaporakan perkara itu pada 23 Januari lalu.

Laporan itu juga menyebut, Syed Mokhtar telah menghantar wakil beliau untuk berbincang dengan Umno bagi tujuan yang sama.

"Pihak kami dengan ini menafikan laporan tersebut dan ingin mengesahkan bahawa Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary tidak bercadang untuk membeli saham di dalam Utusan Melayu (Malaysia) Berhad buat masa ini.

"Sehubungan dengan itu, pihak kami berpendapat bahawa laporan akhbar berkenaan adalah tidak tepat dan tidak berasas," kata kenyataan tersebut.