Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tambang ECRL akan amat berpatutan - PM
Diterbitkan:  Jun 23, 2022 5:11 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) diminta berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang yang amat berpatutan untuk perkhidmatan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.

Beliau berkata kadar itu hendaklah seperti tambang perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad yang disifatkannya sebagai “mesra rakyat” dan bukan seperti dakwaan yang telah mula disebarkan di media sosial kononnya tambang ECRL kelak adalah terlalu mahal.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) juga difahamkan bakal menjana pendapatan sampingan yang dapat menampung kos pengoperasian dan bayaran balik pinjaman pembinaan projek ECRL daripada China EXIM Bank.

"Sehubungan itu, sebuah syarikat usaha sama dengan nisbah kepentingan 50:50 antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sedang dirancang penubuhannya bagi menjayakan pengendalian operasi perkhidmatan ECRL termasuk menanggung kos dan risiko operasi secara bersama.

Syarikat usaha sama ini bakal menyediakan bantuan teknikal dan memperhebatkan pemindahan teknologi kereta api serta bersama-sama mengendali dan menyelenggarakan ECRL untuk jangka masa panjang," katanya dalam ucapan perasmian Permulaan Pembinaan Terowong Genting ECRL Pahang di tapak pembinaannya di Bentong hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi MRL Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Naib Presiden CCCC Sun Ziyu.

Menyifatkan ECRL sebagai pencetus perubahan atau “game changer”, Ismail Sabri berkata perkhidmatannya dengan kelajuan 160 kilometer (km) sejam menawarkan jalinan pengangkutan yang lebih moden, selamat dan efisien ke Pantai Timur.

Dengan 20 stesen dengan 10 adalah stesen penumpang manakala selebihnya ialah stesen gabungan penumpang dan kargo, ia menghubungkan bandar raya, bandar dan taman perindustrian dengan lebih efektif serta meningkatkan sistem pengangkutan awam di kawasan luar bandar.

Selain itu, Perdana Menteri berkata pelaksanaan projek yang melibatkan jajaran sepanjang 665 km dari Kelantan ke Selangor dengan kos pelaksanaan RM50.27 bilion itu juga menyaksikan penglibatan lebih daripada 1,500 buah syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, pembekal dan perunding.

Ini sejajar dengan persetujuan antara MRL dan CCCC untuk melantik subkontraktor dan pembekal tempatan bagi sekurang-kurangnya 40 peratus daripada kerja sivil yang dianggarkan bernilai sehingga RM10 bilion dan setakat April lepas, lebih RM7 bilion nilai kontrak telah ditawarkan bagi projek ECRL di negeri Pantai Timur.

"Pihak CCCC juga bersetuju memberi perhatian khas kepada pelantikan kontraktor kecil yang bersaiz Gred G1- G3 bagi memberi manfaat langsung kepada mereka.

Sebuah Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera Projek ECRL telah ditubuhkan bagi memantau dan memastikan penyertaan efektif syarikat tempatan yang berkelayakan," katanya.

Projek ECRL itu juga disifatkan Ismail Sabri berpotensi melahirkan lebih ramai warga tempatan yang berkemahiran dalam bidang industri rel melalui Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) yang dijangka membuka peluang kepada 5,000 anak muda dari Pantai Timur.

Mengulas mengenai Terowong Genting ECRL, Ismail Sabri berkata pembinaan terowong berkembar sepanjang 16.39 km yang merupakan terowong rel terpanjang di rantau ini, merupakan antara komponen utama Projek ECRL kerana ia dapat melengkapkan jambatan darat bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang.

Terowong itu yang dijangka siap dalam tempoh antara dua tahun setengah ke tiga tahun merupakan satu-satunya daripada penggerudian 59 terowong menggunakan kaedah Mesin Pengorek Terowong (TBM) berbanding kaedah gerudi dan letup bagi terowong lain sebelum ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS