Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Pimpinan Umno kelam-kabut mahu menutup kesipuan apabila idea paling hebat yang datang daripada mereka hanyalah untuk menubuhkan Lembaga Unggas (Ayam) Negara bagi menangani krisis bekalan makanan yang menyebabkan harga barang melambung.

Setiap kali saya bersuara, satu-satunya jawapan yang datang daripada Umno ialah kononnya saya hanya tahu membentangkan formula. Mereka memberi contoh bagaimana kononnya formula ini tidak dapat dilaksanakan semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan.

Inilah satu-satunya sudut jawapan yang dibawa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, semalam semasa menjawab kritikan saya terhadap cadangan penubuhan Lembaga Unggas (Ayam) Negara yang dibawa parti itu.

Alasan pimpinan Umno itu ada beberapa kelompangan.

Apabila Umno cukup takut dengan “formula-formula” saya sehinggakan beberapa pimpinan parti itu bersuara serentak setiap kali saya mengutarakan idea penyelesaian, itu maknanya mereka mengakui (dalam diam) bahawa Umno ketandusan idea untuk mentadbir negara.

Mereka bimbang sekiranya politik Malaysia berkisar mengenai idea (bukannya sentimen kaum, agama atau siapa yang berkuasa), mereka akan ditolak rakyat seperti yang berlaku pada PRU ke-14.

Hakikatnya, Umno kalah dalam PRU lalu atas dua sebab utama:

Pertama, skandal rasuah terbesar dunia 1MDB yang melibatkan Najib Razak, dan kedua, segala dasar Umno yang menyusahkan rakyat seperti pemotongan subsidi, pengenalan cukai baru (seperti GST), rasuah dan sebagainya, yang tidak dapat dipertahankan apabila berdepan dengan pelbagai lontaran idea daripada kami ketika itu.

Manfaat dinikmati rakyat

Sebab itu, pemimpin Umno akan cuba memperlekehkan sebarang idea penyelesaian daripada pihak lawan kerana mereka tahu mereka sebenarnya tidak ada idea.

Lebih banyak mereka cuba memperlekehkan idea saya, lebih jelas ketakutan mereka.

Pemimpin Umno juga lupa bahawa sedang mereka cuba memperlekehkan idea saya, rakyat sebenarnya tahu bahawa formula penetapan harga petrol dan diesel yang digunakan oleh tiga kerajaan berturut-turut (dari PH, Perikatan Nasional/PN dan sekarang) diperjuangkan oleh saya sejak 2013 iaitu semasa Najib gigih mahu menghapuskan subsidi.

Ketika mereka mengatakan formula saya tidak dapat dilaksanakan, formula itu jugalah yang dipakai oleh perdana menteri dari Umno sendiri.

Kalau ada satu formula penyelesaian yang berjaya melindungi rakyat daripada harga petrol yang naik mendadak (seperti pada zaman Najib), formula itu dibawa oleh saya.

Manfaatnya, rakyat menikmati harga petrol dan diesel pada kadar yang stabil sejak Mei 2018 hingga sekarang.

Sebab itu, saya yakin rakyat menghargai pimpinan politik yang mengutarakan formula. Formula bermula dari idea dan formula yang dilaksanakan dengan baik akan menghasilkan penyelesaian. Tanpa idea dan formula, tidak akan ada penyelesaian.

Sebab itu, kenyataan Ahmad Zahid tidak sedikit pun dapat menjawab asas bantahan saya kepada penubuhan lebih banyak lembaga yang menambah birokrasi serta membazirkan wang rakyat.

Kenyataan itu juga bercanggah dengan pandangan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno yang baru dilantik, Isham Jalil, yang berkata kerajaan sekarang sudah pun melaksanakan dasar stok penimbal dengan mengimport ayam sejak beberapa minggu lepas.

Presiden Umno mendakwa idea saya (agar kerajaan membina stok penimbal) hanyalah formula yang tidak boleh dilaksanakan, tetapi orang kanannya yang baru dilantik (yang konon terpaling pandai di dalam Umno) pula menyebut idea itu telah pun dipakai Umno.

Jadi yang mana satu betul: idea saya untuk membina stok penimbal tidak boleh dilaksanakan, atau Umno lebih dahulu memikirkan idea stok penimbal ini (sebelum mengumumkan ingin menubuhkan Lembaga Ayam Negara)?

Meredakan keadaan sementara

Formula untuk membina stok penimbal bagi bahan-bahan keperluan asas negara (petrol, diesel, minyak masak, beras, tepung dan sumber protein) adalah penyelesaian jangka panjang yang memberi keupayaan kepada kerajaan untuk mengimbangi gangguan bekalan yang menyebabkan harga naik mendadak.

Ia satu mekanisme yang berpeluang lebih berkesan berbanding dengan bergantung kepada pendekatan kawalan harga barang melalui harga siling semata-mata.

Sementara ada keperluan dalam industri dan kes tertentu untuk diperkenalkan harga siling (terutamanya untuk mengelakkan kegiatan pencatutan dan mengambil keuntungan yang berlebihan), kaedah harga siling semata-mata tidak berjaya menyelesaikan masalah dalam keadaan gangguan bekalan yang mendadak.

Melalui mekanisme stok penimbal, kerajaan berupaya meredakan gangguan bekalan dengan melepaskan stok penimbal untuk memenuhi permintaan, sementara usaha menyelesaikan gangguan bekalan dijalankan.

Ia sama seperti mempunyai set penjana elektrik (generator) untuk membekalkan elektrik ketika berlaku gangguan bekalan sementara menunggu keadaan dipulihkan.

Saya akan terus mengutarakan formula-formula untuk dipertimbangkan rakyat setiap dua ke tiga hari bagi membawa kembali politik Malaysia kepada persaingan idea.

Saya nasihatkan Ahmad Zahid dan Umno agar mencari jawapan lain untuk berdepan dengan saya kerana jawapan “Umno ada penyelesaian bukan formula” ini telah ditolak rakyat pada PRU yang lepas.


RAFIZI RAMLI ialah timbalan presiden PKR dan bekas ahli parlimen Pandan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS