Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno pernah setuju pujuk Zahid berundur tapi Mat Hasan 'belot'

Sekumpulan pemimpin kanan dan berpengaruh dalam Umno dikatakan berkumpul untuk mencari kesepakatan mendesak Ahmad Zahid Hamidi berundur secara baik seawal 2020.

Menurut Tajuddin Abdul Rahman, antara pemimpin yang hadir ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan bekas perdana menteri Najib Razak dan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.

Kata bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno yang dipecat itu menambah, usaha berkenaan gagal selepas Mohamad "membelot" daripada ketetapan tersebut.

Dakwa Tajuddin, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu "digertak" oleh pegawai kanan Ahmad Zahid.

Menurut ahli parlimen Pasir Salak itu, pertemuan berkenaan berlangsung di rumahnya pada Mei 2020.

"Ketuanya siapa? Tok Mat (Mohamad) dan Bossku (Najib).

“Mereka suruh turun buat tinjauan, berapa ramai ketua bahagian yang setuju. Kalau saya tak silap ada 130 bahagian (di seluruh negara) yang setuju.

"Tok Mat setuju, Bossku setuju. Kenapa tak jadi? Sebab Tok Mat sebagai ketua dengan Bossku belot," katanya dalam sidang media di pinggir ibu negara hari ini.

Fokus kes mahkamah dulu

Dia turut menunjukkan sekeping gambar mengenai yang dirakam semasa pertemuan berkenaan berlangsung lebih dua tahun lalu.

Menurut Tajuddin usaha untuk meminta Ahmad Zahid berundur tidak diteruskan selepas itu apabila Mohamad dilihat menukar pendiriannya selepas mendapat tekanan daripada orang kepercayaan bekas timbalan perdana menteri itu.

Bagaimanapun, Tajuddin menegaskan ahli Parlimen Bagan Datuk itu masih perlu berundur jika ingin melihat Umno memenangi PRU ke-15 nanti.

Hal itu kerana, katanya, Ahmad Zahid kini menjadi beban kepada Umno.

"Ahmad Zahid perlu berundur secara terhormat. Dia tak mampu memimpin Umno kerana banyak keputusan yang berbolak-balik, menipu ahli.

"Orang bawahan tak tahu (apa yang berlaku), nampak (dari luar) memang cantik saja Umno ni.

“Bagi saya lebih baik dia (Ahmad Zahid) fokus saja kes-kes mahkamah yang banyak tu. Fokus itu dulu. Itu yang terbaik, kita doakan yang terbaik kepada dia.

“Bagi saya eloklah dia berundur, jangan jadi liabiliti kepada parti,” katanya.

Lihat Komen
ADS