Bekas Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri di Kuala Lumpur kerana mengalami tekanan darah tinggi. Ekoran itu, perbicaraan kesnya ditangguhkan hingga Isnin ini.

Semasa pemeriksaan saksi pendakwaan kelima, Vincent Chia Ka Soon berlangsung, peguam Kasitah, Datuk Muhammad Shafee Abdullah mencelah dengan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Kasitah mempunyai temujanji susulan dengan pakar kardiologi selepas menerima rawatan awal di hospital malam semalam.

Pada jam 3 petang semalam, Shafee memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Suraya Othman bahawa doktor menasihatkan supaya Kasitah mendapatkan pemeriksaan perubatan lebih lanjut dan mungkin perlu dimasukkan ke wad selama tiga hari.

Menurut laporan Bernama, Suraya bersetuju supaya kes itu disambung pada hari Isnin bagi membolehkan pihak pembela memberikan maklumat lebih terperinci berhubung keadaan Kasitah sebelum menetapkan tarikh perbicaraan berikutnya.

Kelmarin Shafee meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan sehingga ke hari Khamis kerana beliau mempunyai dua kes rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dari Isnin hingga Rabu, namun tiada keputusan dibuat mengenainya.

Kasitah, 60, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB) untuk manfaat diri dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan untuk meluluskan cadangan menjual 16.8 juta saham Sapi yang dipegang oleh lembaga pengarah Briskmark Enterprise Sdn Bhd.

'Sembunyi tawaran'

Dia juga didakwa menipu SLDB dengan menyembunyikan tawaran oleh PPB Palms Sdn Bhd untuk memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi setiap saham Sapi Plantations dalam cadangan oleh PPB Oil Palms untuk penyenaraian di BSKL.

Terdahulu Chia, 50, seorang akauntan memberitahu mahkamah bahawa Kasitah menerima RM24.5 juta daripada urusan 16 juta saham PPB Oil Palms Bhd yang dilaksanakan menerusi sebuah syarikat luar pesisir yang berpengkalan di British Virgin Islands.

Beliau berkata wang itu dibayar kepada Kasitah dalam dua ansuran, dengan bayaran pertama dibuat menerusi cek RM11.5 juta yang dideposit ke dalam buku akaun Kasitah di Development & Commercial Bank Bhd, yang kini dikenali sebagai RHB Bank.

Pembayaran kedua RM13 juta dibayar ke akaun Kasitah dengan cawangan Canadian Imperial Bank of Commerce di Singapura.

Chia juga memberitahu mahkamah bahawa urusniaga saham PPB Oil Palm Bhd yang dimiliki Brismark Enterprise dilaksanakan menerusi Innosabah Securities Sdn Bhd, sebuah firma broker saham di Sabah, dan Arkwell Enterprise Limited.

Saksi itu berkata Arkwell ditubuhkan beliau di Singapura atas arahan Kasitah bagi tujuan menjual sahamnya menerusi syarikat luar pesisir.

Pertukaran saham

Beliau berkata Briskmark, syarikat milik Datuk Wasli Mohamed Said, menerima 22.25 juta saham PPB Oil Palm Bhd selepas pertukaran saham ekoran tindakan SLDB menjual 40 peratus pegangannya dalam Sapi Plantations.

Saham-saham itu kemudiannya dijual dengan harga berjumlah RM49.7 juta oleh Arkwell Enterprises Limited kepada Kumpulan Syarikat PPB pada harga atas RM2 tiap satu saham, tambahnya.

Semasa ditanya timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria, Chia berkata Arkwell Enterprises Limited ditubuhkan dengan modal berbayar AS$1 dan modal yang dibenarkan AS$50,000 (kira-kira RM200,000).

Beliau juga berkata sejumlah 16 juta saham PPB Oil Palms dijual kepada Kasitah oleh Wasli, yang merupakan pengarah Briskmark, bagi harga RM2 tiap satu saham, berjumlah RM32 juta.

Chia menambah bahawa 6.25 juta saham PPB Oil Palms yang selebihnya dimiliki oleh Wasli.