Jawatankuasa Nasional Keselamatan Pengangkutan Indonesia belum dapat memastikan sama ada logam besar yang dikesan oleh kapal penyelidikan kelautan Amerika Syarikat, Mary Sears, adalah bangkai pesawat Boeing 737-400 Adam yang hilang pada 1 Januari lalu.

Jika logam yang dikesan di dasar laut di Majene, Sulawesi Selatan itu disahkan bangkai pesawat Adam, lebih AS$1 juta diperlukan untuk mengangkatkan dari kedalaman antara 1,800 hingga 2,000 meter.

Menurut laporan Bernama, ketua jawatankuasa tersebut, Setio Rahardjo berkata sehingga kini jawatankuasa itu belum dapat memastikan sekiranya logam besar itu adalah bangkai pesawat.

"Katakanlah itu memang bangkai pesawat Adam Air yang ditemui di kedalaman 1,800-2,000 meter. Yang jadi masalah adalah bagaimana mengambilnya," katanya, yang menambah, Indonesia tidak mempunyai teknologi untuk mengangkat barang dari dasar laut sedalam 2,000 meter.

"Kita bergantung kepada negara lain, katakanlah Amerika Syarikat. Namun biaya untuk membawa alatnya ke mari saja sebesar US$1 juta, belum termasuk sewanya AS$100,000 sehari," katanya yang dipetik laman web detikcom semalam.

Operasi AS$200 ribu seminggu

Beliau mendapat gambaran mengenai biaya yang besar itu selepas berbincang dengan pihak berkuasa keselamatan penerbangan Amerika Syarikat dan menurutnya beliau sudah menyampaikan maklumat berhubung perkara itu kepada Menteri Pengangkutan Indonesia Hatta Radjasa.

Laporan sebelum ini menyebut, pada masa ini kerajaan Indonesia mengeluarkan belanja sehingga AS$200,000 seminggu untuk operasi mencari pesawat itu, yang hilang bersama 102 orang penumpang dan anak kapalnya ketika dalam penerbangan dari Surabaya menuju Manado.

Setio berkata oleh kerana pencarian bangkai pesawat itu sebelum ini dibuat atas arahan kerajaan Indonesia, maka pembiayaannya diambil dari bajet negara.

"Kerana itu (biaya yang besar), usaha mencari bukanlah tidak ada batasnya. Jika negara yang mengarahkannya, maka biayanya dari bajet negara, tetapi kalau dilanjutkan pencariannya nanti, biaya operasinya mestilah daripada pihak yang meminta (pencarian diteruskan)," katanya.