AirAsia X sahkan peletakan jawatan Rafidah Aziz sebagai pengerusi
Syarikat penerbangan jarak sederhana dan jarak jauh AirAsia X (AAX), hari ini mengesahkan peletakan jawatan Rafidah Aziz sebagai pengerusi syarikat itu berkuatkuasa 1 Julai ini.
Dalam satu kenyataan media, syarikat itu berkata Rafidah turut meletakkan jawatan sebagai pengerusi pengerusi jawatankuasa pencalonan dan imbuhan serta jawatankuasa pengurusan risiko AAX.
“Rafidah telah menjalankan peranan beliau lebih daripada seorang pengerusi. Sebagai seorang yang berpengalaman dalam pelbagai bidang, beliau adalah tulang belakang saya dari awal hingga pengembangan AirAsia dan yang penting, beliau juga merupakan seorang sahabat dan mentor dalam kehidupan peribadi saya.
“Beliau sentiasa memberikan semangat dan berkongsi pendapatnya secara jujur. Walaupun kini telah bersara, beliau akan sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga besar AirAsia dan kepimpinan beliau akan terus menjadi inspirasi buat kami semua.
“Kami pasti akan terus meminta pandangan dan bimbingan beliau untuk meneruskan perjalanan kami ke peringkat seterusnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan pengasas AAX Tony Fernandes.
Rafidah, 78, dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah dan pengarah eksekutif bukan bebas pada 3 Mac 2011 sebelum dilantik semula sebagai pengerusi dan pengarah bebas bukan eksekutif kumpulan pada 10 Julai 2013.
Dia memegang ijazah sarjana muda sstera dalam bidang ekonomi dan ijazah sarjana dalam bidang yang sama dari Universiti Malaya.
Antara anugerah dan pencapaiannya termasuklah menjawat jawatan sebagai menteri perdagangan Aatarabangsa dan industri Malaysia yang paling lama berkhidmat, iaitu 21 tahun, dari tahun 1987 hingga 2008.
Sementara itu, Rafidah juga dipetik oleh syarikat berkenaan sebagai berkata, sudah tiba masanya untuk AAX melantik ahli lembaga pengarah baru untuk memacu syarikat ke hadapan terutamanya selepas proses penstrukturan semula
“Saya bakal berusia 79 tahun pada tahun ini dan telah berkhidmat sebagai pengarah bebas mengikut penggal yang telah ditetapkan. Saya perlu mematuhi perubahan status daripada seorang ahli lembaga pengarah bebas kepada bukan bebas termasuk memenuhi keperluan yang lain untuk jawatan tersebut.
“Oleh itu, saya memutuskan untuk meletakkan jawatan saya sebagai pengerusi AAX berkuatkuasa mulai 1 Julai,” katanya.

