Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendakwaan akan periksa balas Zahid esok
Diterbitkan:  Jun 28, 2022 10:35 PM
Dikemaskini: 2:35 PM

Selepas beberapa hari memberi keterangan membela diri dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan disoal oleh pihak pendakwaan dalam sesi pemeriksaan balas esok.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pemeriksaan balas bermula esok kerana beliau tidak mahu perbicaraan itu terhalang.

“Tarikh (perbicaraan) saya padat. Kita teruskan,” kata hakim.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang diwakili Peguam Hisyam Teh Poh Teik meminta pemeriksaan balas itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan penangguhan yang ditetapkan pada 7 Julai.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Hakim Sequerah berkata beliau tidak benarkan penangguhan prosiding sehingga beliau membuat keputusan mengenai permohonan penangguhan itu.

Hisyam kemudian meminta permohonan penangguhan itu didengar esok dan berkata perlu ada pembelaan yang lengkap sebelum pemeriksaan balas untuk memberi anak guamnya perbicaraan yang adil.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran membantah permohonan itu didengar esok memandangkan pihak pendakwaan tidak bersedia kerana tarikh telah ditetapkan pada 7 Julai dan mereka memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan.

Hakim berkata beliau perlu mengimbangi permintaan kedua-dua pihak dan memerintahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit pada minggu ini sambil menetapkan tarikh perbicaraan pada 4 Julai.

Ahmad Zahid memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding membela diri sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuannya untuk mendapatkan salinan percakapan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu, Ahmad Zahid berkata beliau dinasihatkan oleh peguamnya untuk memperoleh salinan rakaman percakapan saksi bagi memastikan wujudnya sokongan antara keterangannya dan keterangan mereka, jika tidak katanya hak beliau untuk mendapat perbicaraan yang adil akan terjejas.

Saksi-saksi itu termasuk anaknya Datuk Nurulhidayah, adiknya Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Pada 9 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi daripada SPRM kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi dan sebagai contoh, diugut agar memberikan keterangan yang berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS