Umat Islam Malaysia sambut Aidiladha 10 Julai
Diterbitkan: Jun 29, 2022 8:53 PM
Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidiladha pada 10 Julai, kata Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Mohd Aseral Jusman.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dengan ini mengisytiharkan 1 Zulhijah 1443 Hijrah ialah pada Jumaat, 1 Julai 2022 Masihi.
“Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Ahad, 10 Julai 2022,” katanya menerusi pengumuman yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia malam ini.
- Bernama

