Praya Batu Talam: BN pujuk pengundi Orang Asli
Pengundi Orang Asli dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam turut menjadi sasaran kempen Barisan Nasional untuk memujuk mereka keluar mengundi dalam pilihanraya kecil kawasan itu Ahad ini.
Pengundi Orang Asli dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam turut menjadi sasaran kempen Barisan Nasional untuk memujuk mereka keluar mengundi dalam pilihanraya kecil kawasan itu Ahad ini.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), pengundi orang Asli merupakan lima peratus atau kira-kira 500 daripada 10,525 pengundi berdaftar yang layak membuang undi Ahad ini.
Pilihanraya kecil Batu Talam akan menyaksikan pertandingan antara calon BN, Abdul Aziz Mat Kiram dengan calon bebas, Ng Chee Pang.
Menurut jurucakap jentera pilihanraya BN di Batu Talam, pihaknya telah berkempen di Pos Orang Asli Satak Selasa dan Rabu lalu untuk memujuk mereka keluar mengundi lusa.
Katanya, calon BN, Abdul Aziz telah pergi berkempen di pos tersebut pada hari Selasa dan disusuli oleh jentera kempen BN keesokannya.
Ditanya apakah reaksi masyarakat Orang Asli terhadap calon BN, jurucakap itu berkata, ada sesetengah daripadanya "meminta upah" sebagai syarat keluar mengundi Ahad ini.
"Belia orang Asli mahu diberi wang ringgit, kasut bola, bola dan jersi bola manakala golongan tua pula mahu rokok jika mahu mereka keluar mengundi.
Pujuk Tok Batin
"Orang Asli memberitahu rombongan kami jika tidak mendapat upah, mereka tidak akan keluar mengundi...atau mereka masuk hutan mengutip petai yang sedang berbuah," tambahnya.
Bagaimanapun, kata jurucakap tersebut, berdasarkan pengalaman lalu, tidak kesemua pengundi Orang Asli keluar mengundi, kerana ada sesetengahnya tidak sedar tentang adanya pilihanraya kecil di kawasan mereka.
Jurucakap itu yang pengalaman mengajar di Sekolah Kebangsaan Pos Satak selama setahun dari tahun 1995 hingga 1996 telah menemui beberapa tok batin Orang Asli supaya memujuk anak buah mereka keluar mengundi Ahad ini.
"Bagaimanapun, tok batin sendiri pun tidak boleh memberi jaminan kerana menurut mereka, Orang Asli bebas melakukan apa jua tanpa sekatan.
"Walau keluar mengundi, ia bukan jaminan bahawa mereka akan mengundi calon BN," katanya.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman lalu, banyak undi Orang Asli rosak kerana mereka melakukan kesilapan ketika memangkah undi.
.

