Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Setakat ini, restoran Presma tiada rancangan naikkan harga makanan

Meskipun tiada sebarang rancangan menaikkan harga makanan berikutan peningkatan harga ayam dan telur, pengusaha restoran tidak menolak kemungkinan ia akan terkesan atas faktor tertentu.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan berkata biasanya ahli pertubuhan itu akan mengekalkan harga kerana pelanggan mereka terdiri daripada pelbagai golongan termasuk B40.

Buat masa ini, katanya, Presma tidak ada sebarang cadangan untuk menaikkan harga dan tetap bertahan dengan harga yang dirasakan berpatutan.

“Kalau dapat jual dengan harga yang berpatutan, kami dapat jual lebih. Itu lebih bagus daripada jual dengan harga yang tinggi tapi (kuantiti) jualan kurang sedikit. Konsep kami banyak yang begitu,” katanya.

Bagaimanapun tambahnya harga mungkin akan berubah di sesetengah kawasan di ibu negara yang terletak di kawasan elit kerana ia terdedah kepada potensi kenaikan kos sewa premis.

“Di kawasan elit sikit, macam di Hartamas, Bangsar, Taman Tun (TTDI), mungkin di sana kalau kita tengok harganya berlainan.

" Mungkin mereka ada alasan dia sendiri, mungkin sewa mahal,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Pun begitu Jawahar berkata, keputusan dan kuasa untuk memilih tetap berada di tangan pelanggan.

Menurutnya sebagai pengguna bijak mereka boleh memboikot mana-mana kedai yang menjual barangan mereka dengan terlalu mahal.

Jawahar turut memberi contoh bagaimana ada sebuah restoran mamak di ibu kota yang menjual segelas air yang lebih mahal berbanding pengusaha lain di sekitar kawasan tersebut.

Dalam keadaan begitu, katanya, pelanggan tetap berkunjung dan membeli air berkenaan dan tiada isu timbul kerana restoran terbabit memang dikenali sebagai premis yang berkonsepkan seperti hotel.

Semalam, kabinet memutuskan harga siling runcit ayam bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan naik 50 sen kepada RM9.40 sekilogram, berbanding RM8.90 sebelum ini.

Harga siling bagi telur untuk semua gred meningkat sebanyak 2 sen.

Keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat kabinet kelmarin.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira penyelarasan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Lihat Komen
ADS