Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Wakil rakyat Pakatan Harapan hari ini berikrar akan menganjurkan satu himpunan besar-besaran pada 16 Julai ini sekiranya kerajaan gagal menunaikan tiga tuntutan utama berkaitan krisis makanan yang dihadapi rakyat.

Perkara itu dinyatakan Adun Taman Templer Sany Hamzan selepas himpunan berhubung kenaikan harga barang di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.

“Kerajaan hari ni harus laksanakan tiga tuntutan yang kita tuntut itu tadi. Kalau tiada tunggu 16 Julai ni.

“Kita akan gerakkan himpunan besar-besaran seluruh negara mendesak supaya harga barang diturunkan,” kata Adun Amanah itu yang juga adalah bekas ketua pemuda parti berkenaan.

Himpunan yang diadakan selepas solat Jumaat ini dihadiri olehsekitar 50 orang. Ia turut disertai oleh beberapa pemimpin Amanah yang turut menyampaikan ucapan ringkas dalam ‘Himpunan barang naik’ itu.

Mereka termasuk Hatta Ramli, Khalid Samad dan anggota jawatankuasa tertinggi pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali.

Terdahulu, Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil membacakan tiga tuntutan deklarasi tersebut yang antaranya menuntut supaya kerajaan mengembalikan subsidi yang telah dipotong sehingga menyebabkan rakyat sengsara.

“Ini kerana kita yakin bahawa hasil negara cukup banyak. Hasil negara sepatutnya digunakan untuk bantu rakyat dalam bentuk subsidi.

“Itu tuntutan pertama kita.. Untuk meringankan beban rakyat, kita tuntut subsidi,” katanya.

Tuntutan kedua, katanya adalah supaya kerajaan menghapuskan sistem permit import (AP) ke atas sebarang makanan import.

Menurut Faiz, sistem AP itu telah mewujudkan monopoli kawalan barang makanan yang telah dikawal oleh pihak tertentu, sehingga menyebabkan bekalan berkurangan.

“Bagi kita itu ialah satu sistem lapuk yang tak harus lagi diamalkan pada masa ni.

“Ketiga, kita tuntut supaya kerajaan panggil satu sidang khas Parlimen untuk membolehkan semua ahli Parlimen di Dewan Rakyat membincangkan isu tentang bekalan makanan, isu tentang keselamatan makanan dan isu harga makanan ini secara tuntas dan mencari penyelesaian yang terbaik,” kata ahli jawatankuasa nasional Amanah itu.

Mesyuarat Kabinet baru-baru ini memutuskan bahawa harga runcit siling ayam bagi semenanjung ditetapkan pada harga RM9.40 sekilogram, naik 50 sen daripada RM8.90 yang dijual sekararang. Manakala harga siling telur ayam pula naik antara 2 sen bagi setiap gred.

Jemaah menteri turut memuktamadkan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi.

Lihat Komen
ADS