Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki didakwa memandu bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian

Bekas pekerja kilang mengaku tidak bersalah atas dakwaan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian.

Tertuduh, Yeoh Boon Chin, 32 tahun, didakwa di Mahkamah Majistret Pekan, Pahang hari ini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam empat petang, 26 Jun lalu di Kilometer 53, Jalan Kuantan-Segamat, dekat Pekan, Pahang.

Kemalangan itu menyebabkan seorang mangsa, Azlina Mohamad, berusia 51 tahun meninggal dunia.

Yeoh didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengakibatkan kematian penumpang kereta dan Seksyen 44(1a)(a) akta sama, kerana mengakibatkan kecederaan pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan itu.

Bagi pertuduhan pertama, sabit kesalahan membawa hukuman penjara tidak kurang sepuluh tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.

Untuk pertuduhan kedua pula, jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan majistret Wahidah Zainal Abidin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Natasha Saharrudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Osman Abdullah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 untuk pertuduhan kedua dengan seorang penjamin.

Majistret menetapkan 30 Ogos depan bagi tarikh sebutan semula kes.

Lihat Komen
ADS