Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kalau harga naik, kurangkan sikit makan telur'
Diterbitkan:  Jul 2, 2022 12:02 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar menyarankan orang ramai khususnya rakyat Melaka mengurangkan pengambilan telur berikutan kenaikan harga makanan berkenaan.

"Kita sebagai pengguna kalau dah tau kenaikan harga telur tu tinggi, kalau boleh kita kurangkan sikit makan telur.

"Kalau satu minggu kita makan lebih kurang 20 biji, kita kurangkan jadi 10 atau 15 biji. Tak ada masalah.

"Itu adalah cara gaya hidup kita," katanya dalam rakaman video yang disiarkan saluran Youtube Melaka TV semalam.

Bercakap kepada pemberita di Pasar Besar Majlis Bandar Raya Melaka, Norena berkata rakyat perlu memahami situasi kenaikan harga barang disebabkan inflasi di seluruh negara ketika ini.

"Kerajaan memutuskan untuk bagi lagi pelbagai subsidi untuk bagi kita tak terbeban dengan inflasi tapi kita mohon sangat terutama rakyat Melaka (faham), kita sekarang dalam inflasi yang tinggi.

"Bukan Malaysia sahaja tekanan barangan naik, bahkan satu dunia. Ini bukan isu baru," katanya.

Sementara itu, semakan Malaysiakini mendapati rakaman video berkenaan tular sejak semalam dan menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Bermula 1 Julai, harga runcit siling ayam bagi semenanjung ditetapkan pada harga RM9.40 sekilogram, naik 50sen daripada RM8.90.

Harga siling telur ayam pula naik antara 2sen bagi setiap gred iaitu 45 sen sebiji bagi Gred A, 43 sen sebiji bagi gred B; dan 41 sen sebiji bagi gred C.

Lihat Komen
ADS