Batu Talam: BN menang besar, calon Bebas hilang deposit
Seperti yang dijangkakan calon Bebas, Ng Chee Pang tewas dalam pilihanraya kecil Batu Talam serta hilang wang depositnya.
Seperti yang dijangkakan calon Bebas, Ng Chee Pang tewas dalam pilihanraya kecil Batu Talam serta hilang wang depositnya.
Ng hanya memperolehi 419 undi berbanding dengan calon Barisan Nasional, Abdul Aziz Mat Kiram yang mendapat 6,276 undi. Sebanyak 385 undi rosak.
Ini bermakna BN telah mengekalkan kerusi Batu Talam dengan majoriti 5,857 undi bertambah 3,186 undi berbanding majoriti 2,671 undi yang diperolehinya dalam pilihanraya umum lalu.
Keputusan pilihanraya kecil Batu Talam diumum oleh pegawai pengurus pilihanraya, Abdul Kadir Awang Bakar pada jam 8.10 malam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada sama ketika keputusan itu diumumkan. Bagaimanapun, kedua-dua calon tidak ada ketika keputusan diumumkan dan Abdul Aziz tiba 10 minit kemudian.
Seramai 7,131 atau 67.32 peratus daripada 10,525 pemilih keluar mengundi dalam pilihanraya kecil Batu Talam apabila pengundian ditutup pada jam 5 petang ini.
Pengundian dijalankan di 12 pusat mengundi bermula mulai jam 8 pagi tadi.
Pengundi terdiri daripada 10,511 biasa dan 14 undi Pos, dengan pecahan pengundi Melayu (79.36%); Cina (10.81%); India (4.74%) dan lain-lain 5.09%).
Pilihanraya itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari Barisan Nasional (BN) Datuk Tengku Paris Tengku Razlan pada 27 Disember lalu akibat kanser paru-paru dan usus.
Boikot gagal
Jumlah peratusan pemilih yang keluar mengundi itu dianggap menggalakkan memandangkan pihak pembangkang telah bertindak memboikot pilihanraya kecil Batu Talam.
Sehingga jam 11 pagi tadi, kira-kira 36 peratus atau 3,789 pemilih berdaftar keluar mengundi. Manakala angkanya meningkat kepada 6,706 atau 63 peratus pada jam 3 petang ini.
Sementara itu, imbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan tersebut menunjukkan tindakan pembangkang untuk memboikot pilihanraya kecil Batu Talam telah ditolak rakyat.
Malah, pagi tadi pun, Najib telah menyatakan perkara yang sama berdasarkan sambutan menggalakkan di beberapa pusat pengundian terutama di kawasan Felda.
Ekoran itu, Najib berkata usaha pembangkang memboikot pilihanraya kecil Batu Talam ternyata telah gagal dan berpuashati dengan jumlah kehadiran pengundi sejak jam 8 pagi tadi.
Calon Bebas, Ng tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya.
Sementara itu, proses pengundian pilihanraya Batu Talam tetap berjalan lancar walaupun cuaca mendung dan gerimis sejak awal pagi ini.
Pada sebelah pagi, kebanyakan pengundi yang keluar merupakan golongan warga emas dan wanita. Jentera parti yang bertanding, terutamanya Barisan Nasional (BN) turut membantu membawa orang ramai terutamanya pengundi ke pusat pengundian.

