Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita maut dijerut penyamun, suami cedera
Diterbitkan:  Jul 5, 2022 4:33 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Seorang wanita maut manakala suaminya cedera dalam kejadian samun di Felda Mengkuang, dekat Bera, Pahang, pagi tadi.

Mangsa berusia 52 tahun dipercayai meninggal dunia selepas suspek menjerut leher mangsa menggunakan kabel pengecas telefon.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bera, DSP Kumaran Nyanasagaran (gambar, judul) berkata, suspek dipercayai memecah masuk kediaman pasangan itu sebelum membunuh mangsa.

"Suspek memasuki rumah pasangan itu menggunakan pintu belakang dan dipercayai memasuki bilik tidur mangsa sebelum membunuh mangsa dengan menjerut leher mangsa menggunakan kabel pengecas telefon bimbit.

"Mayat mangsa ditemui selepas pusat kawalan daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera menerima panggilan jam 10.45 pagi tadi," katanya.

Kumaran memberitahu, suspek turut mencederakan suami mangsa berusia 60 tahun pada bahagian kepala sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM6,000 dan kereta jenis Honda City milik lelaki itu.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan pihak polis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi IPD Bera di talian 09-2558222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS