Pembantu exco Negeri Sembilan didakwa terlibat dalam serangan seksual
Polis menyiasat dakwaan seorang pembantu exco Negeri Sembilan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita di sebuah hotel di Seremban.
Ketua polis daerah Seremban Nanda Maarof ketika dihubungi Malaysiakini hari ini mengesahkan perkara itu.
Katanya, wanita itu membuat laporan polis terhadap pembantu exco itu dua hari lalu, dengan mendakwa dia diserang secara seksual oleh lelaki itu pada 30 Mac dan 26 April.
Nanda juga berkata pihak polis turut mengumpulkan bukti-bukti dan merakamkan kenyataan saksi kes.
Siasatan dibuat bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menyerang atau melakukan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan.
Nanda enggan mendedahkan butiran lanjut kes.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat exco berkaitan dan sedang menunggu maklum balasnya.

