Banjir kilat di Baling telah menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Butterworth, Pulau Pinang ditutup selepas menerima air berlumpur dari Sungai Muda, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Chow berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) terpaksa menutup LRA itu antara 8 pagi dan 12 malam hari ini, mengakibatkan tekanan air rendah di beberapa kawasan di Pulau Pinang.

“LRA Sungai Dua yang mengeluarkan lebih 80 peratus air terawat ke seluruh Pulau Pinang setiap hari amat penting kepada kami,” katanya.

“Loji rawatan air terjejas berikutan menerima air mentah dari Sungai Muda yang terlalu keruh dipercayai akibat banjir kilat yang berlaku di Baling,” kata Chow.

“Loji rawatan tidak dapat berfungsi dengan baik dan PBAPP terpaksa menghentikan operasi rawatan air dari jam 8 pagi hingga 12 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam maklum balas segera, dia berkata PBAPP mula menyalurkan air dari Empangan Mengkuang, yang berfungsi sebagai ‘empangan strategik’ untuk dibekalkan kepada pengguna di negeri itu.

"Saya difahamkan ketua pegawai eksekutif PBAPP Jaseni Maidinsa dan pasukannya mengadakan mesyuarat untuk membincangkan tindakan sewajarnya," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, PBAPP berkata loji rawatan air itu beroperasi semula secara berperingkat selepas jam 12 tengah hari ini berikutan kualiti air bertambah baik.

Kejadian banjir dan fenomena lonjakan air yang melanda Baling pada 4 Jun berikutan hujan lebat telah meragut tiga nyawa dan tiga pusat pemindahan dibuka untuk menempatkan lebih 1,400 mangsa banjir.