• EN
  • BM
  • 中文
Malaysiakini logo
backgroundImg
Panduankini

Bagaimana Malaysia hilang kedaulatan Pulau Batu Puteh?

Lee Long Hui7 Jul 2022

Isu Pulau Batu Puteh sekali lagi mencuri perhatian ekoran kenyataan-kenyataan Sultan Johor dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung pulau kecil berkenaan.

Malaysia dan Singapura terlibat dalam pertikaian selama 30 tahun berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh. Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa pulau itu milik Singapura.

Sebelum ini, kerajaan BN memfailkan permohonan semakan semula ke atas keputusan tersebut, namun ia ditarik balik oleh Pakatan Harapan (PH) selepas ia mengambil alih kerajaan persekutuan pada 2018.

Kini, sekembalinya BN ke tampuk kuasa, ia menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyemak semula isu dan tindakan perundangan berkaitan dalam usaha untuk menuntut semula kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.

Iklan

Panduankini ini akan membawa anda melihat semula latar belakang sejarah seputar Pulau Batu Puteh dan penghakiman ICJ bagi memahami dengan lebih baik mengapa Malaysia kalah dalam pertikaian kedaulatan berkenaan.

Kenapa ICJ memutuskan Pulau Batu Puteh milik Singapura?

ICJ berpandangan salah satu bukti penting yang memihak kepada Singapura ialah sepucuk surat bertarikh 21 Sept 1953, oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

Surat itu menjawab surat dari Setiausaha Jajahan Singapura kepada Penasihat British buat Sultan Johor, bertarikh 12 Jun 1953, yang bertanyakan mengenai status Pulau Batu Puteh.

Kira-kira tiga bulan kemudian, Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor menjawab bahawa “kerajaan Johor tidak menuntut pemilikan ke atas Pedra Branca.”

Sehubungan itu, mahkamah menyimpulkan bahawa jawapan Johor itu menunjukkan bahawa setakat 1953, Johor memahami bahawa ia tidak memiliki kedaulatan ke atas Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa
Penghakiman kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, perenggan 223
Mahkamah Keadilan Antarabangsa

Apakah tindakan susulan Malaysia?

Malaysia dan Singapura menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura berhubung pelaksanaan penghakiman ICJ.

Bagaimanapun, sebagai tindak balas kepada usaha Singapura menuntut zon ekonomi eksklusif (EEZ) sekitar Pulau Batu Puteh, kerajaan Malaysia menggesa pihak media untuk menggugurkan istilah “Pulau” daripada nama rasminya.

Menurut menteri luar negeri ketika itu Rais Yatim, Pulau Batu Puteh tidak memenuhi kriteria antarabangsa bagi sebuah pulau, iaitu didiami manusia dan mempunyai aktiviti ekonomi.

Meskipun keputusan ICJ adalah muktamad dan tidak tertakluk untuk rayuan, Malaysia memfailkan satu permohonan semakan pada 2017 berhubung keputusan berkenaan.

Ia berdasarkan beberapa dokumen, dalam usaha untuk membuktikan bahawa pentadbiran kolonial British dan Singapura menyedari bahawa Pulau Batu Puteh bukan sebahagian daripada wilayah berdaulat Singapura.

Dokumen-dokumen itu diperoleh daripada Arkib Negara UK, iaitu surat-surat dalaman pihak berkuasa kolonial Singapura pada 1958, laporan insiden yang difailkan pada 1958 oleh seorang pegawai tentera laut British, dan satu peta beranotasi tentang operasi tentera laut.

Permohonan semakan itu diketuai peguam negara (AG) ketika itu Mohamed Apandi Ali.

Bagaimanapun, pada 30 Mei 2018, tidak lama selepas PH memenangi pilihan raya umum dan mengambil alih pentadbiran Putrajaya, ia mengumumkan bahawa Malaysia akan menarik balik permohonan semakan tersebut dan mengarahkan Apandi untuk bercuti.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pakar perundangan antarabangsa dan kepentingan negara, termasuk implikasi kos.

Para pemimpin PH mengumumkan kejayaan mereka pada malam hari mengundi PRU14.
Para pemimpin PH mengumumkan kejayaan mereka pada malam hari mengundi PRU14.

Kenapa isu ini kembali hangat?

Sekembalinya BN ke tampuk kuasa, kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyemak semula isu dan tindakan perundangan berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, berhubung penarikan balik permohonan semakan itu.

Pasukan itu diketuai Apandi dan dikehendaki mengemukakan penemuan dan saranannya kepada kabinet dalam tempoh enam bulan dari tarikh pembentukannya pada November 2021.

Isu berkenaan turut dibangkitkan baru-baru ini apabila PH dan Mahathir menjadi sasaran Sultan Johor, menteri besar dan speaker DUN Johor.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan dengan keputusan PH untuk tidak meneruskan permohonan rayuan berkenaan.

Sementara itu, MB Onn Hafiz menggesa tindakan undang-undang diambil ke atas “pengkhianatan” yang menyebabkan negara kehilangan Pulau Batu Puteh.

Susulan itu, speaker DUN Johor Mohd Puad Zarkashi menawarkan diri untuk menyaman Mahathir sebanyak RM3 bilion berhubung perkara tersebut.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Apa maklum balas Mahathir?

Meskipun tidak menyentuh isu Pulau Batu Puteh secara langsung, Mahathir meminta Sultan Ibrahim menjelaskan tentang penjualan tanah negeri kepada entiti asing.

Mahathir merujuk projek Forest City di barat daya Johor Bahru dan projek Maharani Energy Gateway di luar pantai Muar, Johor. Sultan Johor memiliki kepentingan yang signifikan dalam kedua-dua projek berkenaan.

Saya nak tahu kenapa dia jual 1,370 hektar tanah kepada China? Itu lebih besar daripada seketul batu.
Mahathir
Former prime minister
Mahathir

Pada Mei tahun lalu, seorang warga Malaysia Mohd Hatta Sanuri memfailkan saman sivil ke atas kerajaan berhubung penarikan balik permohonan rayuan berkenaan.

Bagaimanapun, kerajaan berjaya membatalkan saman berkenaan di mahkamah minggu lalu, atas dasar bahawa kes berkenaan tidak sesuai diputuskan di mahkamah.

Kongsikan artikel ini

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 7 Jul 2022.

Penyelaras projek
Lee Long Hui
Penyelidik & Penulis
Lee Long Hui
Reka bentuk & Pengaturcara
Yan Jing Tian & Ooi Choon Nam
Ilustrasi
Syariman Badrulzaman & Yan Jing Tian
Penterjemah
M Fakhrull Halim
Sumbanglah untuk projek yang akan datang.
Kini News Lab logo background
introKini News Lab
Kini News Lab ialah pasukan khas di Malaysiakini yang dikhususkan untuk penceritaan visual dan kewartawanan data.