Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Saiful: Annuar 'saksi hidup' perjanjian Bersatu-Ismail Sabri
Diterbitkan:  Jul 7, 2022 3:29 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mendedahkan Annuar Musa adalah saksi kepada perjanjian yang dimeterai di antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Bersatu.

Mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, yang menafikan ada perjanjian bagi lantikan timbalan perdana Menteri, Wan Saiful malah menyifatkan Shahril sebagai 'ejen' presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

"Mungkin kejujuran Shahril masih dipersoalkan sebab ada orang pernah tuduh Shahril sebagai spy Zahid dalam PMO.

"Nampaknya ada perkara yang perdana menteri belum cukup percaya untuk dikongsikan dengan Shahril.

"Yang menjadi saksi kepada coalition agreement di sebelah perdana menteri ialah Anuar Musa," katanya hari ini.

Tambah Wan Saiful, perjanjian gabungan yang dilakukan di antara Ismail Sabri dengan Bersatu adalah amalan terbaik dilakukan naib presiden Umno berkenaan.

Katanya ia juga amalan yang lazim di sesebuah negara yang beramal dengan demokrasi matang dan mahukan gabungan bagi membentuk kerajaan.

"Bab ini kita mesti puji (Ismail Sabri). Tahniah Dato Sri," katanya lagi.

Wan Saiful Wan Jan

Pada 2 Jul lalu, Presiden Bersatu merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin mengesahkan bertemu dengan Ismail Sabri bagi membincangkan pelantikan jawatan baru termasuk timbalan perdana menteri.

Katanya, beberapa perkara penting dibangkitkan dalam pertemuan tersebut berlandaskan perjanjian di antara PN dan perdana menteri.

Hari ini Shahril menafikan kewujudan persetujuan tersebut dan mempersoalkan mengapa ia dibangkitkan sekarang.

“Tak pernah diumumkan, tak pernah dibincangkan. PAS pun dalam PN. Tak pernah pun sebut apa-apa berhubung hal ini.

"Jadi saya anggap ni cerita rekaan semata-mata oleh pihak terdesak," katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Lambang akhlak, integriti

Untuk rekod dengan kedudukan Shahril sebagai ketua penerangan Umno Malaysia, dia dianggap antara orang yang dipercayai oleh Ahmad Zahid. Shahril dilantik menjadi penasihat ekonomi PMO pada Okt tahun lalu.

Kata Wan Saiful, ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri, Umno turut pernah menghantar surat mengandungi nama-nama yang dicalonkan untuk pelbagai jawatan.

"Kami tak ada pula kata Umno gila kuasa, sebab memang itulah 'best practice' yang betul," tambahnya lagi.

Katanya langkah PN menghantar senarai nama bagi memohon jawatan tertentu dalam kerajaan adalah perkara biasa.

"Jadi macai-macai Zahid janganlah nak berlakon bodoh pula. Apabila PN hantar senarai nama, itu memang perkara biasa. Dan bila PN merujuk kepada coalition agreement, itu juga perkara biasa.

"Memenuhi janji adalah elemen penting dalam hidup yang berintegriti. Sebab itu apabila Umno menghantar senarai nama semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri, dia memenuhi janji untuk melantik mereka ke jawatan menteri, timbalan menteri, pengerusi dan ahli lembaga agensi.

"Ini lambang akhlak dan integriti.

"Saya tahu sebahagian pemimpin Umno memandang mudah isu amanah dan integriti.

"Maklumlah, Ahmad Zahid dan Najib Razak dua-dua ada masalah integriti yang boleh masuk sejarah dunia.

“Apabila orang yang di atas tidak malu untuk berakhlak buruk, maka hilanglah sifat amanah dan integriti," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS