Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan sedang uji mekanisme subsidi bahan api bersasar

Kerajaan sedang menguji mekanisme untuk sistem subsidi bahan api bersasar namun tiada garis masa ditetapkan bagi pelaksanaannya, kata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kerajaan kini sedang menguji beberapa cadangan yang diterima bagi menentukan langkah terbaik untuk pelaksanaan sebelum membentangkannya kepada Kabinet.

Berdasarkan kajian oleh Bank Negara Malaysia (BNM), bagi setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen dinikmati kumpulan T20 manakala 15 sen dimanfaatkan oleh kumpulan B40, katanya.

“Kita akan menguji dan memutuskan apabila kita selesa dengan mekanisme dan platform bagaimana kita melaksanakannya.

“Sudah tentu pengalaman pelanggan berbeza-beza di kawasan luar bandar dan juga bandar,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pelancaran pelan tindakan dan laporan kelestarian Edotco 2021 di Kuala Lumpur, hari ini.

Tengku Zafrul berkata beliau akan berada di lapangan stesen-stesen minyak untuk menguji mekanisme itu atau platform yang dicadangkan kepada kerajaan.

Sebelum ini, kerajaan menganggarkan subsidi bagi 2022 akan mencecah RM77.7 bilion dan ini mendorong subsidi bahan api mencapai RM30 bilion.

“Bulan lepas, subsidi bahan api telah mencecah RM5 bilion sebulan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS