Pelakon drama ditemui berlumuran darah kesan kelar
Pelakon sebuah drama bersiri di televisyen ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelaran di pergelangan tangannya serta kecederaan tikaman di perut di kediamannya di Kondominium Dataran Prima di Kuala Lumpur hari ini.
Pelakon sebuah drama bersiri di televisyen ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelaran di pergelangan tangannya serta kecederaan tikaman di perut di kediamannya di Kondominium Dataran Prima di Kuala Lumpur hari ini.
Intan Shafina, seorang pendatang baru, kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah dipercayai dihantar kenalannya, seorang lelaki warga asing, pada jam 3 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mazlan Mansur, yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi Bernama, berkata artis itu kini dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan selama sejam.
"Kita akan mengambil keterangan daripada artis itu setelah beliau sedar nanti. Doktor yang merawatnya memaklumkan kepada kami artis itu kehilangan banyak darah tetapi kini berjaya melepasi tahap kritikal," katanya.
Polis juga akan mengambil keterangan daripada lelaki warga asing yang menemuinya selain daripada teman lelaki artis itu yang dikenali sebagai "Farus" bagi membantu siasatan.
"Kita akan siasat sama ada (kecederaan) adalah akibat pergelutan dan sedang menunggu laporan doktor bagi menentukan punca kecederaannya," katanya.
Mazlan berkata bahawa buat peringkat awal, kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Nama hampir sama
Tinjauan Bernama di PPUM mendapati anggota keluarga dan kenalan pelakon itu resah sambil menunggu untuk mendapatkan perkembangan muktahir keadaannya.
Terdapat kekeliruan dalam kes ini apabila media pada awalnya melaporkan bahawa artis berkenaan adalah penyanyi Intan Sarafina Ungku Yahya, 25, yang dikenali sebagai Intan Sarafina.
Ketika dihubungi Bernama, Intan Sarafina berkata beliau dihujani panggilan daripada peminat dan kawan-kawan mengenai kejadian itu yang kononnya melibatkan beliau.
"Saya agak terkejut dengan berita tersebut, saya sedia untuk memberi penjelasan kepada sesiapa sahaja bahawa orang itu bukan saya.
"Kalau tak percaya datang ke rumah saya di No 190 Villa Laman Tasik Bandar Seri Permaisuri, Cheras, di sini atau hubungi 03-91719042," katanya.
Beliau turut mendakwa kekeliruan itu mungkin berlaku kerana nama mereka hampir serupa.
"Saya sudah menghubungi polis yang menerima report di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya dan dimaklumkan memang nama saya hampir sama dengan nama mangsa," katanya yang turut kehilangan kad pengenalannya baru-baru ini.
Intan Sarafina berkata bahawa ketika kejadian itu, beliau berada di rumah bersama keluarga.

