Ismail Sabri Yaakob diminta menunjukkan kepimpinan dengan meneruskan pembaharuan politik yang boleh menjamin kestabilan dan akauntabiliti politik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bersih berkata perdana menteri sepatutnya membentangkan rancangan tadbir urus dan pembaharuan untuk baki tempoh perkhidmatannya sehingga 16 Julai 2023 jika tidak dapat memutuskan tarikh untuk mengadakan pilihan raya.

"Permainan teka-meneka PRU15 merugikan negara dengan bukan sahaja ketidakpastian yang menjejaskan keputusan yang akan dibuat dalam ekonomi dan kehidupan awam, tetapi juga mengalih perhatian menteri daripada tadbir urus," katanya.

Badan pemantau pilihan raya itu kemudiannya menyenaraikan beberapa pembaharuan yang perlu dilakukan sebelum PRU, seperti yang dibincangkan dalam persidangan bertajuk "Bersiap untuk PRU15: Apa Pembaharuan Yang Pengundi Mahukan", yang berlangsung dua hari baru-baru ini.

Pembaharuan yang dinyatakan oleh Bersih ialah:

1. Melaksanakan had tempoh 10 tahun PM.

2. Memperkenalkan Undi Tidak Percaya Konstruktif.

3. Memperkenalkan Penggal Tetap Parlimen

4. Pengasingan pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

5. Menggubal Undang-undang Persekutuan & Negeri bagi Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF).

6. Pembentukan PSSC mengenai urusan pilihan raya.

7. Memperluaskan hak mengundi kepada pengundi luar kawasan.

8. Menambah baik proses pengundian pos untuk pengundi luar negara.

9. Memperkasakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

10. Mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen.

11. Meningkatkan kebebasan, kesaksamaan dan keterwakilan Speaker dan Timbalan Speaker;

12. Pindaan kepada Aturan Mesyuarat untuk memperkasakan ahli parlimen pembangkang dan backbencher kerajaan, dan untuk membolehkan Rang Undang-undang Persendirian.

Bersih juga menegaskan kepentingan penggubalan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik dan Rancangan Pencegahan Rasuah Nasional.

“Kami ambil perhatian bahawa Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan pada Mei bahawa Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pencegahan Rasuah bersetuju secara dasar untuk menggubal Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik, satu pelan komprehensif yang akan menginstitusikan prinsip dan amalan tadbir urus yang baik sebagai Pelan Tadbir Urus Baik Negara (MyGovernance) di semua agensi kerajaan termasuk badan berkanun akan diperkenalkan, dan pemisahan AG dan pejabat Pendakwa Raya akan diteliti.

“Kami memuji kesediaan kerajaan Ismail Sabri untuk mempertimbangkan reformasi ini dan melaksanakan yang sudah ada dalam MOU Transformasi dan Kestabilan Politik.

“Sudah tiba masanya untuk PM memulihkan keyakinan orang ramai terhadap proses politik dan pilihan raya kita, satu matlamat yang harus disokong oleh semua pihak, baik di bangku kerajaan mahupun pembangkang,” tambah Bersih.

“Kami sedar bahawa banyak reformasi struktur memerlukan pindaan perlembagaan dan kami menyeru semua pihak dan ahli parlimen, termasuk Umno parti perdana menteri sendiri, untuk memberikan sokongan mereka kepada sebarang agenda pembaharuan seumpamanya, dan agar kerajaan memulakan proses perundingan dengan semua pihak berkepentingan untuk mendapatkan input dan sokongan mereka," kata Bersih.

Semalam, Malaysiakini memetik dua sumber sebagai melaporkan bahawa PRU15 berkemungkinan diadakan pada November.

Ismail Sabri sebelum ini membayangkan PRU15 mungkin diadakan lebih awal selepas berdepan tekanan daripada pemimpin Umno, khususnya presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden Umno, sebelum ini berkata PRU boleh diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2023 iaitu apabila penggal ini tamat.