Kjaan sewa, bukan beli jet eksekutif, kata PM
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan bahawa beliau tidak membeli jet eksekutif tetapi kerajaan hanya menyewa pesawat itu daripada Penerbangan Malaysia Berhad.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan bahawa beliau tidak membeli jet eksekutif tetapi kerajaan hanya menyewa pesawat itu daripada Penerbangan Malaysia Berhad.
Sehubungan itu, beliau menafikan Laporan dalam laman-laman web yang mendakwa kononnya beliau membeli sebuah pesawat VIP ACJ 319 keluaran Airbus, bernilai antara AS$55 dan AS$60 juta.
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa pesawat itu bukan untuk digunakan oleh beliau semata-mata, demikian menurut laporan Bernama malam tadi.
"Jet itu adalah untuk kegunaan kerajaan, bukan Perdana Menteri (sahaja). Kerajaan pun ada juga Yang di-Pertuan Agong, semua ada," kata Abdullah dalam sidang akhbar sekembalinya ke tanahair selepas menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos dan lawatan kerja ke London.
"Kapal terbang itu Penerbangan Malaysia Berhad punya, duit mereka. Kita hanya sewa sebagaimana MAS (syarikat Penerbangan Malaysia) menyewa kapal terbang daripada mereka
juga," tambahnya.
Laporan dalam laman-laman web itu, antara lain, mendakwa pesawat itu yang berasaskan model A320, kini dalam proses pengubahsuaian dalaman di Switzerland.
Jelaskan rasionalnya
Sambil menjelaskan rasional penyewaan itu, Abdullah berkata langkah untuk menyewa adalah lebih baik daripada membeli kerana ia menjimatkan wang kerajaan.
"Buat apa kita (kerajaan) beli kapal terbang. Kalau beli, nak kena perbaik, nak kena belanja banyak lagi juga.
"Jadi lebih baik sewa, maka kalau rosak atau apa pun, pihak yang memberi sewa kenalah bagi kapal terbang lain pula untuk kita pakai," katanya.
Beliau menarik perhatian bahawa PMB akan mendapat keuntungan hasil sewaan tersebut seperti keuntungan yang diperolehnya apabila menyewakan pesawat kepada MAS.
Abdullah bagaimanapun tidak dapat menyatakan butiran penyewaan itu.
Sebelum ini, Abdullah menafikan laporan sebuah akhbar di Turki bahawa beliau telah membeli sebuah bot mewah.

