Might -Turkish Aerospace Industries meterai kerjasama teknologi angkasa
Malaysia melalui Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Turkish Aerospace Industries Inc. (TAI) memeterai kerjasama bagi menggalakkan pembinaan kapasiti dan keupayaan dalam industri dan teknologi aeroangkasa.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini berkata kerjasama kedua-dua negara melalui pemeterian Surat Niat (LOI) itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Republik Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden, Ankara semalam.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr. Adham Baba yang mengiringi Ismail Sabri dalam lawatan rasmi tersebut, menyatakan pihaknya menyokong jalinan kerjasama antara agensinya bersama syarikat pertahanan dan aeroangkasa terbesar di Turkiye itu.
“MOSTI percaya bahawa elemen terpenting dalam memastikan transformasi Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi ialah dengan mengeratkan kerjasama dan menyelaras model perniagaan bagi menerokai teknologi-teknologi baharu,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Pengerusi Bersama (Industri) MIGHT Tan Seri Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata perkongsian berterusan antara TAI dan Malaysia yang dipermudahkan oleh MIGHT, telah menggalakkan pemindahan pengetahuan dalam bidang pesawat udara tanpa pemandu (UAV), pesawat dan angkasa kepada pakar Malaysia daripada pelbagai agensi dan industri.
Beliau berkata kerjasama itu mampu menjadi pemangkin kepada Malaysia dalam pengeluaran produk berteknologi tinggi negara, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada perolehan asing dalam bidang strategik seperti pertahanan dan keselamatan.
“Ini juga merupakan satu langkah yang tepat dalam merealisasikan aspirasi Malaysia untuk memulihkan penguasaan dalam pembangunan teknologi di pasaran global,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Ismail Sabri terdahulu telah mengadakan lawatan ke TAI yang merupakan Pusat Kecemerlangan Turkiye bagi reka bentuk, pembangunan dan pemodenan pesawat udara, sistem UAV serta subsistem satelit dan angkasa lepas.
Dalam masa sama, TAI telah membuka pejabat kejuruteraan dan reka bentuk di Cyberjaya yang kini menempatkan seramai 20 jurutera Malaysia.
Syarikat pertahanan dan aeroangkasa Turkiye itu turut komited untuk melatih dan menempatkan 100 lagi jurutera tempatan dalam masa terdekat.
- Bernama

