Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS nafi wujud perjanjian jawatan timbalan perdana menteri
Diterbitkan:  Jul 8, 2022 1:29 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

PAS mengambil pendekatan berbeza dengan Bersatu bahawa tiada keperluan untuk mengadakan jawatan timbalan perdana menteri seperti yang diinginkan parti rakan gabungan Perikatan Nasional (PN) itu.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata tiada sebarang perjanjian dibuat berhubung pelantikan jawatan timbalan perdana menteri antara PN dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

"Kita masih lagi berpegang pada (keputusan) awal penubuhan kerajaan bahawa tak ada (jawatan) timbalan perdana menteri.

"Kita masih lagi selesaikan masalah rakyat, kita kekal tidak ada timbalan perdana menteri dan tak ada janji mengenai pelantikan timbalan perdana menteri," kata Abdul Hadi kepada pemberita di Marang, Terengganu, hari ini.

Ketika ditanya sama ada PAS maklum mengenai perjanjian antara Bersatu dan Ismail, Abdul Hadi berkata perkara itu ada dibicangkan tetapi tiada keputusan.

"Kita bincang tetapi tidak ada keputusan," katanya ringkas.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas dakwaan Bersatu bahawa wujud perjanjian antara parti itu dengan Ismail berhubung jawatan timbalan perdana menteri.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan sebelum ini mendedahkan terdapat perjanjian bertulis antara Perikatan Nasional (PN) dengan Ismail untuk jawatan TPM.

Wan Saiful mendakwa, perjanjian itu dibuat sebelum Ismail dilantik menjadi perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin yang hilang sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Mengakui lantikan TPM sebagai kuasa prerogatif perdana menteri, Wan Saiful berkata Bersatu akan melihat dan menilai sama ada perjanjian itu akan ditunaikan atau tidak.

Wan Saiful enggan mengulas dakwaan Muhyiddin menamakan timbalannya dalam Bersatu Ahmad Faizal Azumu untuk jawatan itu.

Lihat Komen
ADS