Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM ucap takziah atas pemergian Shinzo Abe
Diterbitkan:  Jul 8, 2022 9:29 PM
Dikemaskini: 1:29 PM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada kerajaan Jepun dan seluruh rakyatnya di atas pemergian mantan Perdana Menteri Shinzo Abe.

"Saya berasa amat sedih apabila mendengar perkhabaran duka berhubung insiden melibatkan mantan Perdana Menteri Shinzo Abe, yang baru saya temui pada awal tahun ini sebagai Utusan Khas Tuan Yang Terutama," katanya di Ankara hari ini.

Ismail Sabri yang dalam rangka lawatan rasmi ke Turkiye dipetik Bernama berkata dia berharap agar keluarga mendiang dan seluruh rakyat Jepun tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih serta pilu ini.

Katanya, Abe telah memainkan peranan yang penting dalam hubungan erat antara Malaysia dan Jepun, dan merupakan pendukung utama Dasar Pandang ke Timur.

Sementara itu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia turut mengucapkan takziah.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin mengucap takziah kepada kerajaan dan rakyat Jepun, dan keluarga bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe,” katanya pada satu kenyataan, hari ini.

Saifudin berkata Abe adalah seorang pemimpin ikonik dan akan senantiasa dikenang atas sumbangannya kepada pembangunan ekonomi Jepun melalui "Abenomics".

“Beliau juga telah memberi sumbangan besar kepada Dasar Pandang Ke Timur Malaysia, baru-baru ini, beliau mewakili kerajaan Jepun sebagai Utusan Khas Perdana Menteri Jepun sempena ulang tahun ke-40 dasar itu, di Kuala Lumpur,” katanya.

Abe ketika menjadi perdana menteri Jepun pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali dan berperanan dalam kemajuan hubungan dua hala dengan Malaysia.

“Legasi dan sumbangan Abe akan senantiasa dikenang,” kata Saifuddin.

Abe merupakan perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat dengan dua kali memegang jawatan itu - pertama pada 2006 dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020.

Lihat Komen
ADS