Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran hari ini menggesa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob melakukan rombakan kabinet atau memecat menteri dalam usaha memulihkan ekonomi.

Dia mempersoalkan peranan jemaah menteri pada masa ini apabila hanya menubuhkan jawatankuasa khas kabinet untuk menangani kenaikan harga barang.

"Kalau semua menteri-menteri ni tubuh jawatankuasa sahaja sebagai satu penyelesaian, nak buat kajian-kajian, apakah tugas menteri-menteri dan timbalan menteri sebenarnya?

"Elok mereka letak jawatan ataupun PM pecatlah atau reshuffle cabinet supaya ada menteri-menteri dan timbalan menteri yang layak mentadbir negara atau mentadbir kementerian masing-masing.

"Saya mohon PM buat rombakan kabinet secepat mungkin supaya ekonomi kita stabil,” katanya sambil disambut sorokan orang ramai pada perhimpunan aman membantah kenaikan harga barang hari ini.

Perhimpunan anjuran Pemuda PKR dan disokong Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu diadakan di luar kompleks Sogo di Kuala Lumpur.

Mereka menuntut kerajaan mengekalkan subsidi, menghentikan politiking dan menangani isu kartel antarabangsa dalam kenaikan harga barang.

Dalam pada itu, Prabakaran berkata jemaah menteri pada masa ini tidak berfikir ‘di luar kotak’ dalam mengatasi isu kenaikan kos sara hidup.

"Contoh isu harga ayam naik sebab harga makanan ayam naik, jagung dan soya naik. Kenapa harga jagung dan soya naik? Sebab kita import dari Amerika, sedangkan kita boleh tanam sendiri.

"Kenapa ayam hanya boleh makan jagung dan soya sahaja ke? Ia tak boleh makan benda lain ke? Kita ada banyak produk tempatan untuk makanan ayam, kenapa kita tak empower tu," katanya.

Prabakaran berkata dia akan membangkitkan isu itu dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.