Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sambutan Aidiladha, ibadah korban kembali meriah
Diterbitkan:  Jul 10, 2022 2:59 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Selepas dua tahun umat Islam di negara ini ‘berkorban’ menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana selain aktiviti ibadah korban dihadkan susulan pandemik Covid-19, tahun ini ibadah itu kembali disambut dengan penuh rasa syukur dan meriah.

Masjid dan surau di seluruh negara menjadi tumpuan umat Islam sama ada warga tempatan atau warga asing untuk menunaikan solat sunat Aidiladha selain menyertai ibadah korban.

Walaupun prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sudah dilonggarkan dengan tidak mewajibkan jemaah menjarakkan saf, namun orang ramai masih mengamalkan kawalan kendiri dengan memakai pelitup muka.

Ibadah korban yang dilaksanakan selepas selesai solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijah dan hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah sebelum berakhir waktu Asar melibatkan semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Di ibu kota, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan di sini yang diimamkan Penolong Pengarah Kanan masjid itu Dr Khalid Isa, sementara khutbah bertajuk “Berkorban Untuk Kejayaan” disampaikan Imam Besar masjid Rozimi Zamri.

Di Putrajaya, lebih 3,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, diimamkan Iman Besar masjid Ustaz Nor Azamir Alias, selain tujuh ekor lembu dan seekor kambing disembelih untuk diagihkan selepas pukul 11.30 pagi.

Di Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz berkenan berangkat ke Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Di Melaka, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 4,000 jemaah di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini, manakala di Kelantan pula, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama ribuan jemaah di Masjid Muhammadi di Kota Bharu.

Di Terengganu, umat Islam menyambut Aidiladha dengan penuh kemeriahan dan solat sunat hari raya bermula pada 8 pagi, manakala ibadah korban pula bermula seawal 9 pagi di masjid, surau, kawasan lapang, rumah sembelihan swasta dan perkarangan rumah persendirian.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu Dr Anun Man berkata sebanyak 6,383 kebenaran sembelih dan 5,509 permit pindah haiwan dikeluarkan pada Aidiladha kali ini.

Di Pahang, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Suasana masjid dan surau di Johor, Selangor, Perak, Perlis dan Pulau Pinang juga meriah dengan kehadiran orang ramai serta pemimpin utama negeri masing-masing bersama-sama menunaikan solat sunat Aidiladha serta menyertai acara ibadah korban.

Di Masjid Jamek Hashim Yahaya, Georgetown, (Pulau Pinang), sebanyak 19 ekor lembu termasuk seekor lembu ‘sado’ seberat lebih satu tan dan 30 ekor kambing akan dikorbankan hari ini.

Sementara di Kedah walaupun Aidiladha disambut meriah, umat Islam di negeri itu diingatkan agar menjiwai semangat pengorbanan untuk bersusah payah bersama-sama dalam meringankan beban golongan memerlukan, susulan banjir melanda Baling yang menjejaskan 1,490 penduduk selain meragut tiga nyawa.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam perutusan raya mengajak umat Islam menjiwai semangat pengorbanan dengan bersama-sama dalam meringankan beban golongan yang memerlukan.

Sementara itu, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) aliran trafik di beberapa lebuh raya dan plaza tol utama juga lancar dan terkawal pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini.

Di Kuching, Sarawak, suasana masjid dan surau dibanjiri kehadiran jemaah yang tidak mahu melepaskan peluang menunaikan solat sunat Aidiladha serta menyertai ibadah korban, susulan Majlis Agama Islam Sarawak yang membenarkan ibadah itu dilaksanakan di masjid dan surau di negeri itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan solat bersama ratusan jemaah di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Petra Jaya di Kuching yang kemudiannya menyempurnakan Majlis Korban Perdana anjuran Majlis Islam Sarawak.

Menerusi program tersebut, seramai 100 asnaf dari Gabungan Saudara Kita di sekitar bandar raya itu menerima manfaat agihan daging korban berkenaan.

Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gedong akan menghadiri majlis serupa di Masjid Al-Kawthar Gedong petang ini.

Sementara di Kota Kinabalu, Sabah, ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sabah dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Umat Islam di sekitar bandar raya itu tidak melepaskan peluang untuk beramai-ramai menunaikan solat sunat Aidiladha pada tahun ini selepas dua tahun terikat dengan SOP susulan pandemik Covid-19.

Sudah menjadi budaya baharu, walaupun SOP mengekang Covid-19 dilonggarkan, orang awam yang hadir tetap mengamalkan kawalan kendiri pemakaian pelitup muka dan mensanitasi tangan sebagai langkah berjaga-jaga.

Tinjauan turut mendapati keadaan lalu lintas di sekitar Kota Kinabalu agak lengang ekoran ramai yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga masing-masing.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS