Rampasan kuasa menerusi Langkah Sheraton yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan adalah sesuatu yang langsung tidak dijangka atau duga buat Yeo Bee Yin.

Dalam bukunya yang bakal diterbitkan “Unfinished Business” dia mendedahkan bahawa adalah "di luar jangkaannya” bahawa ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali yang juga adalah timbalan presiden PKR tergamak untuk berpaling tadah.

“Meskipun saya dengar khabar angin sejak akhir 2019 mengenai operasi ‘pintu belakang’ ini, saya masih percaya bahawa Azmin ada batas moralnya.

“Lagipun Azmin adalah menteri besar Selangor ketika saya berkhidmat di Dewan Undangan Negeri Selangor. Walaupun saya tidak bersetuju dengannya dalam semua perkara, namun adalah di luar jangkaan saya yang dia tergamak untuk berpaling tadah selepas perjuangan dalam gerakan Reformasi lebih 20 tahun. Dia telah bersama Anwar dan PKR melalui zaman paling gelap.

“Juga sukar untuk difikirkan bahawa Saifuddin Abdullah tergamak melakukan perkara sama. Dia seorang budiman yang memanggil saya ‘sister’ atau 'adik' setiap kali berjumpa dan lazimnya duduk di sebelah saya dalam setiap mesyuarat kabinet.

“Hanya apabila saya melihat wajah mereka di Hotel Sheraton, berpelukan dan bercium dengan pemimpin PAS dan Umno, barulah saya sedar bahawa kita (Pakatan Harapan) telah dikhianati,” tulisnya.

Tindakan Langkah Sheraton pada Februari 2020, menamatkan tempoh 22 bulan Pakatan Harapan di Putrajaya, merujuk kepada kebuntuan politik selama seminggu yang dicetuskan oleh pakatan antara Umno, PAS dan Bersatu.

Ia tercetus di Hotel Sheraton apabila tiga bekas musuh politik, bersama GPS membentuk kesatuan atas alasan untuk menjaga kepentingan bangsa dan agama menerusi gabungan baharu yang digelar “Perikatan Nasional”.

Dalam bukunya, Yeo megimbas kembali tentang tugas singkatnya dalam kerajaan sebagai menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim. Dia tertanya-tanya sama ada kejatuhan kerajaan pimpinan PH boleh dielakkan sekiranya mereka membina hubungan yang lebih erat dengan pembangkang ketika itu.

“Apa jika kita telah meluangkan lebih banyak masa menguruskan politik pakatan kita yang rapuh ini dan membina lebih banyak jambatan dengan pemimpin parti lain dan bukannya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kementerian?

"Sekiranya kita menguruskan perbezaan dengan lebih baik, mungkin kita tidak akan berpecah? Lagipun, kuasa politik datang daripada politik, dan malangnya, politik di Malaysia banyak mengenai perhubungan dan kurang mengenai dasar.

"Langkah Sheraton menyedarkan saya bahawa tidak kira betapa gigihnya usaha kita bekerja sebagai menteri, akhirnya, kuasa akan diberikan kepada mereka yang menang secara politik," tulisnya.

Yeo menceritakan hari dia ditawarkan jawatan menteri, dengan tetap menyatakan bahawa ia adalah sesuatu yang tidak terlintas di fikirannya walaupun namanya berada dalam "senarai kabinet" yang dikhabarkan sebagai calon yang berpotensi.

Beberapa bulan selepas pilihan raya umum ke-14, Yeo menerima panggilan daripada Mahathir sendiri dengan tawaran untuk jawatan itu.

Yeo terus menerima tawaran itu; bagaimanapun, dia bimbang ini akan menyebabkan rasa tidak puas hati dalam DAP kerana dia bukan pemimpin kanan parti.

“Dua perkara bermain di fikiran saya. Pertama, saya anggap pelantikan itu adalah sebagai timbalan menteri - dilantik sebagai menteri adalah di luar jangkaan.

“Kedua, saya masih dapatkan nasihat daripada pemimpin parti saya dan sanggup menolak jawatan itu jika mereka membantah. Jadi saya berkata ya dan menerima tawaran itu,” tulisnya.

Yeo berkata dia bersedia untuk melepaskan jawatannya jika diminta berbuat demikian oleh DAP. Namun, dia tidak disuruh,

Dalam tempoh dua minggu, pada 2 Julai 2018, Yeo mengangkat sumpah sebagai menteri.

Di sebalik semua halangan yang dihadapi oleh gabungan PH, Yeo berkata bahawa masih terdapat harapan untuk negara selagi ia terus bergerak ke hadapan.

“10 tahun singkat saya dalam politik mengajar saya perkara ini- selagi kita terus bergerak maju, perkara baik akan berlaku. Kita tidak boleh membiarkan apa yang berlaku dalam politik hari ini membataskan imaginasi kita tentang apa yang negara boleh jadi pada masa hadapan.

“Marilah kita percaya bahawa negara kita boleh menjadi lebih baik selagi kita terus bergerak maju ke hadapan. Perjuangan untuk Malaysia yang lebih baik belum berakhir,” tulisnya.

[Baca berita asal]