Ketika detik untuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengumumkan sama ada pindaan perlembagaan Umno diterima atau tidak semakin hampir, seorang pemimpin Bersatu mempersoalkan kesahan parti terbabit memilih jalan berkenaan.

Pengarah Pilihan Raya Bersatu Johor Badrul Hisham Shahrin berkata apabila Umno mengadakan mesyuarat agung tergempar untuk mengusulkan pindaan tersebut, parti terbabit sedang dipimpin oleh ketua sementara.

Untuk rekod pindaan yang dicadangkan Umno itu membolehkan pemilihan parti ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Kata Badrul Hisham, apabila Umno mengusulkan pindaan berkenaan, keadaan parti berkenaan berbeza daripada apa yang dilakukan MCA ketika ia mengambil langkah sama pada 2019.

“Pada 2019, pemimpin MCA itu masih berkhidmat dalam penggal mereka (2018-2021), manakala Umno sekarang, penggal pemimpinnya sudah tamat pada 30 Jun tahun lalu.

"Kepimpinan Umno hanya bersifat pemimpin penjaga.

"Mengikut Fasal 9.3 Perlembagaan Umno, majlis tertinggi parti itu mesti dipilih setiap tiga tahun," tulisnya di Facebooknya.

Umno mengadakan perhimpunan agung khas bagi meluluskan usul meminda perlembagaan pada 15 Mei lalu.

Pindaan tersebut membolehkan pemilihan parti berkenaan ditangguhkan sementara bagi memberi ruang kepada mereka memberi perhatian kepada PRU ke-15.

ROS dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan sehari kemudian dan agensi yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri itu mempunyai masa sehingga 16 Julai untuk menjawab sama ada ia diluluskan atau tidak.

[Baca berita penuh]