Polis klasifikasi kes TikTok isu subsidi bekas senator sebagai NFA
Kes terhadap bekas senator PKR Siti Aishah Shaik Ismail berhubung klip video tular mengenai isu subsidi dalam aplikasi media sosial TikTok sebagai "tiada tindakan lanjut" atau NFA, kata peguamnya Adly Zulfadhly Zulkefly hari ini.
"Kenyataan kepada polis lengkap dalam masa 10 minit sahaja. Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Bukit Aman mengesahkan kesnya diklasifikasikan sebagai 'NFA'," katanya kepada Malaysiakini.
Dalam satu kenyataan kemudian, Siti Aishah berkata polis membuat keputusan itu kerana terdapat satu lagi kertas siasatan yang telah dibuka dan disiasat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung video yang sama.
Sambil memuji langkah itu sebagai kematangan penguatkuasa, dia berkata polis mempunyai banyak lagi isu-isu penting yang perlu diselesaikan mereka.
“Ini adalah kemenangan rakyat,kepada semua jangan lagi kita bimbang dan takut dalam menyuarakan kritikan kita kepada pemerintah sekalipun ia bersifat pahit untuk ditelan.
“Kepada rakyat Malaysia tahniah saya ucapkan, ayuh bangkit selamatkan negara ini daripada terus diratah oleh pemerintah yang zalim yang menggunakan ruang demokrasi sebagai alat untuk menutup mulut rakyat dari bersuara.
“Itimidasi tidak akan mengurangkan semangat juang ini,” katanya.
Bekas senator sepenggal itu pada mulanya diminta pergi ke ibu pejabat polis di Bukit Aman di Kuala Lumpur pada 4 Julai untuk direkodkan kenyataannya.
Bagaimanapun, dia meminta tarikh itu ditangguhkan selepas Hari Raya Aidiladha, yang dipersetujui polis.
Pada 23 Jun lalu, Siti Aishah memuatnaik satu video mengenai keputusan kerajaan tidak meneruskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak bagi pek kemasan botol mulai 1 Julai lalu.
Menyifatkan 1 Julai sebagai tarikh derita kepada rakyat Malaysia, Siti Aishah juga meminta rakyat berbangkit dan menolak kerajaan hari ini pada PRU akan datang.



