ROS belum keluarkan surat jawab Umno
Permohonan Umno untuk meminda perlembagaan supaya pemilihan parti itu hanya diadakan enam bulan selepas pilihan raya umum masih menjadi tanya tanya.
Hamzah Zainudin berkata meskipun dia selaku menteri dalam negeri yang bertanggungjawab namun sebarang keputusan ditentukan ROS sendiri secara bebas.
“Buat masa ini saya difahamkan ROS belum keluarkan surat lagi, saya menteri mengawal ROS tapi keputusan ROS dibuat sendiri.
"Keputusan ROS adalah keputusan yang dibuat mereka secara bebas," katanya pada sidang media di Putrajaya, selepas majlis penyerahan surat keputusan kewarganegaraan, hari ini.

Ditanya mengenai laporan media sebelum ini yang memetik Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, sebagai berkata, keputusan permohonan itu bakal diperolehi pada 16 Julai ini, Hamzah berkata, perdana menteri meminta supaya keputusan ROS dibuat sebelum tarikh berkenaan.
Menurut Hamzah, pihak KDN tidak boleh menyalahkan perdana menteri yang meminta supaya keputusan itu dipercepatkan meskipun ROS mempunyai masa sehingga 60 hari untuk membuat keputusannya.
Katanya, dia hanya akan mengulas apabila permohonan itu sudah ke peringkat rayuan kerana rayuan hanya boleh dibuat kepada menteri dalam negeri.
“Jika mereka (ROS) boleh buat sebelum 16 Julai, dia boleh buat. Apa salahnya kalau mereka boleh buat?" katanya.
Tempoh kepimpinan Umno sekarang berakhir tahun lalu. Semua mereka termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dipilih pada Jun 2018 untuk tempoh tiga tahun.
Bagaimanapun, sebelum penggal mereka berakhir tahun lalu, pucuk pimpinan menggunakan Fasal 10.16 perlembagaannya untuk menangguhkan pemilihannya selama 18 bulan. Tarikh akhir itu akan tamat pada 29 Disember tahun ini.

Umno, MCA dan Gerakan adalah antara parti di negara ini yang mempunyai peraturan yang membenarkan mereka melampaui tempoh "tiga tahun campur 18 bulan".
Ismail Sabri pula yang menjadi perdana menteri selepas Muhyiddin Yassin gagal mendapat sokongan ahli parlimen Umno dan terpaksa melepaskan jawatannya adalah naib presiden parti itu.

