mk-logo
Berita
AGC sahkan tolak semua tawaran penyelesaian dibuat Jho Low
Diterbitkan:  Jul 16, 2022 4:13 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, ada membuat tawaran penyelesaian dengan kerajaan Malaysia.

Namun, AGC berkata semua tawaran tersebut telah ditolaknya.

"AGC mengesahkan bahawa dalam tahun ini, Jho Low melalui wakilnya telah membuat percubaan untuk mendapatkan satu penyelesaian dengan kerajaan Malaysia.

"Dalam percubaan ini, wakil Jho Low telah bertemu dengan beberapa agensi kerajaan Malaysia termasuk AGC.

"Kesemua tawaran penyelesaian daripada wakil Jho Low telah ditolak oleh AGC," kata jabatan itu dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Semalam, laporan The Edge yang memetik sumber antara lain menyatakan kerajaan telah menolak tawaran Jho Low sebanyak RM1.5 bilion untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.

Laporan itu juga mendakwa bekas peguam negara Mohd Apandi Ali menjadi wakil bagi pihaknya.

Apandi Ali

Hari ini Apandi mengesahkan mengaturkan pertemuan itu.

Dia berkata pada Mei lalu, dia dihubungi oleh firma Washington DC, Kobre & Kim untuk mengaturkan pertemuan dengan pihak Malaysia bagi membincangkan pemulangan wang yang didakwa diselewengkan Jho Low daripada 1MDB.

Menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula memberitahu Malaysiakini dia tidak mengetahui tentang perkara itu.

Dia kini dalam pelarian dan lokasinya tidak diketahui umum.

Dihadapkan dengan sejumlah pertuduhan di Malaysia termasuk pengubahan wang haram dan terlibat dalam konspirasi jenayah, Jho Low berulang kali mendakwa dia tidak bersalah dan pada wawancara 2020 mendakwa hanya menjadi perantara dalam urusan 1MDB.

Lihat Komen
ADS