Debat Parlimen Belia bahas isu peratusan keluar mengundi rendah
Peratusan keluar mengundi yang rendah terutamanya dalam kalangan belia Malaysia semakin membimbangkan menjelang kedatangan pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Semalam, 10 perwakilan belia di seluruh negara cuba menangani isu ini dalam siri pertama Debathon Parlimen Belia 2022 anjuran bersama Malaysiakini dan KiniEvents dengan kerjasama Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia.
Mereka berusia antara 16 hingga 25 tahun itu saling berhujah mengenai usul “Mengapa Belia Tidak Mengundi?” dan membincangkan cara terbaik untuk menggalakkan golongan terbabit keluar menyertai prosed demokrasi berkenaan.
Acara itu diadakan melalui aplikasi Zoom dan disiarkan secara langsung ke Facebook Malaysiakini, dengan peserta dibahagikan kepada dua sisi masing-masing mewakili 'kerajaan' dan 'pembangkang'.
Pihak 'kerajaan' diketuai Damon Goh YiYang, 23, dan dibarisi Spanski Steven, 26; Ryan Rayner, 18; Mohammad Farhan Mokhali, 25; dan Divvesh Kumaravel, 16.
Mereka menganjurkan sistem undi pos yang lebih inklusif dan cekap untuk rakyat Malaysia, serta menggubal undang-undang antilompat parti sebelum PRU ke-15 berlangsung.
Sementara itu, blok pembangkang terdiri daripada Alka Kaur, 21; Jason Kng, 23; Afiq Farhan, 23; Aziz Haqqim, 22; dan Hema Shankari, 25.
Mereka menghujahkan bahawa pengundian pos - yang biasanya terbuka kepada pasukan polis dan tentera - juga harus dibuka kepada generasi muda.
Kumpulan terbabit turut menyarankan agar tempoh dan had umur ditetapkan untuk menjadi seseorang wakil rakyat.
Ada sesi akan datang
Perbahasan tersebut kemudiannya dinilai panel hakim yang dianggotai termasuk pegawai media dan maklumat Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Norman Goh; Ketua Pegawai Operasi Malaysiakini, Ravi Chandran; pensyarah Taylor's College Mohd Muttaqin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Debat dan Pengucapan Awam Malaysia (MIDP) Emellia Shariff.
Mengulas selepas itu, Goh memuji kualiti pembahas dengan menyatakan mereka setanding dengan ahli parlimen.
Daripada 10 pendebat itu, Alka kemudian diangkat sebagai pendebat terbaik melalui tinjauan pendapat dalam talian.
Pelajar matematik dan ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM) berasal dari Pulau Pinang itu menerima langganan percuma Malaysiakini seumur hidup.
Dua acara Debathon Parlimen Belia 2022 seterusnya akan diadakan masing-masing pada 6 Ogos dan 20 Ogos, dengan perbincangan topik yang sama.
Pusingan perbahasan berikut akan diadakan dari September hingga Oktober, dan peserta dikehendaki berhujah mengenai pengundian wajib.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Debathon Parlimen Belia 2022 di sini.

