Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
40 diangkut SPRM dalam siasatan PenjanaKerjaya - sumber

(Ralat: Laporan awal pada mulanya melaporkan terdapat serbuan dibuat pagi ini.)

SPRM menahan kira-kira 40 orang dalam siasatan dipercayai berkaitan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kata sumber.

Setakat ini belum jelas sama ada ia terdiri daripada kakitangan kementerian dan pejabat itu dalam operasi dinamakan Ops Hire itu.

Dilaporkan pada 15 Julai lalu, SPRM menahan reman 37 individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerjaan (PenjanaKerjaya) berjumlah RM100 juta.

Siasatan dijalankan dengan kerjasama Perkeso dan suspek terdiri daripada pemilik syarikat, pengarah, pengurus, pemegang saham, jurutera dan eksekutif.

Semalam, Timbalan Presiden MIC M Saravanan tidak menolak kemungkinan beberapa individu daripada MIC terlibat dalam skandal itu.

Dia dipetik The Star semalam berkata bahawa walaupun dia tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu, namun dia tidak dapat menafikan beberapa ahli parti kemungkinan terlibat.

Menurut laporan itu, Saravanan mendakwa bahawa penglibatan individu berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan parti itu sambil menambah bahawa dia tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang terlibat dalam kegiatan jenayah.

Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung dakwaan bahawa beberapa pemimpin MIC telah ditahan minggu lepas oleh SPRM berhubung skandal itu.

Sejak Ops Hire bermula 13 Julai lalu, sejumlah individu direman di Putrajaya, Selangor, Johor, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Menurut sumber setakat ini, 67 syarikat telah disiasat dan 36 akaun dengan nilai keseluruhan lebih RM7 juta telah dibekukan.

Seorang ketua kerani yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan, antara yang ditahan di pejabat SPRM Johor.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS