Kelantan rekod 32.69 hektar pembalakan haram pada 2020, 2021
DUN Kelantan l Kerajaan negeri merekodkan dua kes pembalakan haram membabitkan keluasan 32.69 hektar pada tahun 2020 dan 2021.
Menteri besarnya Ahmad Yakob berkata, kes pembalakan haram yang dikesan itu hanya melibatkan dua kawasan perhutanan.
"Jumlah pembalakan haram yang dapat dikesan dalam tempoh 2020 melibatkan satu kawasan keluasan 10.84 hektar dan satu kes yang juga satu kawasan keluasan 21.85 hektar pada 2021," katanya pada sesi soalan lisan persidangan dewan undangan negeri (DUN) kali kedua 2022 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Ahmad (PAS -Pasir Pekan) berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Rozi Muahamd (PAS-Tendong) berhubung usaha-usaha kerajaan negeri dalam menangani masalah pembalakan haram.
Sementara itu Ahmad berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) memandang serius isu dan usaha menanganinya diambil secara berterusan.
Katanya, beberapa langkah diambil melalui pemantauan kawasan perhutanan secara berkala oleh JPNK dan agensi-agensi berkaitan.
"Pemantauan kawasan perhutanan secara berkala melalui pederiaan jauh dan pemeriksaan, penggunaan drone, pemantauan berskala secara rondaan, operasi bersepadu dengan pelbagai agensi pengutakuasaan dan sebagainya.
"Kerajaan negeri melalui JPNK mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah melalui Akta Perhutanan Negara 1984," jelasnya.

