Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersedia untuk mendengar merit cabaran undang-undang veteran tentera untuk memaksa Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan permohonan mereka untuk mendaftarkan parti politik.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid pagi ini memberi kebenaran kepada permohonan pengasas Parti Kemakmuran Negara untuk meneruskan semakan kehakimannya.

Ini bermakna mahkamah akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar merit tindakan undang-undang berhubung dakwaan kelewatan KDN dalam membuat keputusan mengenai permohonan untuk mendaftarkan parti.

Dalam satu kenyataan media hari ini, peguam mereka Lim Wei Jiet mengesahkan keputusan prosiding.

"Mahkamah telah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 27 Julai," kata peguam itu.

Pengasas parti itu terdiri daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pada 4 Mei tahun lepas, Bernama melaporkan golongan veteran menyuarakan hasrat mereka untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menggunakan platform politik mereka sendiri, menyasarkan kira-kira 50 kerusi parlimen dan DUN.

Presiden Persatuan Veteran ATM Sharuddin Omar (gambar atas) berkata mereka sedang membentuk Parti Kemakmuran Negara, mendakwa pendiriannya untuk bertanding pada PRU15 adalah disebabkan kelewatan kerajaan menyelesaikan isu berkaitan veteran, terutama mengenai gaji dan pencen serta isu-isu lain yang berkaitan rakyat.

Dia mendakwa mereka menyerahkan permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kira-kira dua bulan lebih awal pada 9 Mac lalu.

Bagaimanapun, mereka mendakwa ROS - yang berada di bawah KDN - menolak permohonan pendaftaran mereka pada 16 Mac tahun ini.

Mereka mendakwa bahawa mereka kemudiannya merayu kepada menteri dalam negeri pada 25 Mac untuk membatalkan keengganan ROS untuk mendaftarkan Parti Kemakmuran Negara.

Mereka bagaimanapun mendakwa bahawa 113 hari berlalu dengan tiada keputusan lagi dibuat oleh menteri berhubung rayuan itu.

Menerusi tindakan undang-undang itu, pengasas parti mendakwa kelewatan itu adalah tidak munasabah, menyalahi undang-undang dan melanggar hak asasi untuk menubuhkan persatuan di bawah Perlembagaan Persekutuan.