Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis Kelantan tahan lelaki disyaki hina Islam, nabi

Seorang lelaki ditahan polis di Kelantan hari ini selepas dia disyaki merakam klip video yang menghina Islam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan DCP Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 9.15 pagi tadi berhubung seorang lelaki yang berkata jelik terhadap Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Menurutnya, susulan laporan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Machang membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong dan menahan suspek berusia 35 tahun kira-kira jam 11.30 pagi.

"Hasil soal siasat suspek mengaku memuat naik video berdurasi 4 minit 14 saat yang menyebut perkataan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad di lokasi tangkapan," katanya kepada media hari ini.

Tambah Muhamad Zaki lelaki terbabit tidak memiliki sebarang pekerjaan dan hasil ujian saringan air kencing menunjukkan dia positif dadah jenis Methaphetamine.

"Permohonan reman akan dibuat terhadap suspek pada esok," katanya.

Menurut Muhamad Zaki lagi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Terdahulu satu rakaman video tular memaparkan seorang lelaki sedang melakukan aktiviti mengecat sambil mengeluarkan ucapan atau kata-kata yang menghina Islam.

Lihat Komen
ADS