Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rahman Dahlan sokong usaha MP Warisan usul debat isu Sulu
Diterbitkan:  Jul 20, 2022 10:05 AM
Dikemaskini: 2:05 AM

Bekas ahli parlimen Kota Belud Abdul Rahman Dahlan menyokong usaha penggantinya Isnaraissah Munirah Majilis untuk meyakinkan Dewan Rakyatmembahaskan isu rampasan aset Petronas oleh waris kesultanan Sulu.

Abdul Rahman menulis di laman Facebooknya semalam bahawa ramai ahli parlimen, terutama dari Sabah, mempunyai banyak soalan yang ingin mereka ajukan kepada kerajaan.

"Maka perbahasan di parlimen adalah platform terbaik untuk kerajaan menjawab persoalan ahli-ahli parlimen dan menerangkan serta menjelaskan secara terperinci tindakan dan perancangan kerajaan untuk menangani isu tuntutan ini terutamanya setelah aset-aset Petronas telah 'dirampas' di luar negara," katanya.

Abdul Rahman berkata dia percaya Isnaraissah Munirah akan memfailkan semula usulnya untuk perbahasan kepada pejabat speaker Dewan Rakyat dan berharap ia diluluskan.

"Speaker dan kerajaan pusat mesti faham bahawa isu tuntuan dan keselamatan negeri Sabah adalah isu besar dan terlalu dekat di hati rakyat Sabah.

"Jangan sampai usul ini ditolak bagi kali keempat sehingga rakyat Sabah tidak memaafkan. Ini isu kedaulatan negeri Sabah dan orang Sabah khuatir tentang masa depan mereka," katanya.

Abdul Rahman adalah ahli parlimen Kota Belud selama dua penggal dan bekas menteri kabinet persekutuan. Pada pilihan raya 2018, dia telah diletakkan sebagai calon BN untuk Sepanggar tetapi tewas.

Pada Isnin, Isnaraissah Munirah dari Warisan digantung daripada Dewan Rakyat kerana bertegas agar isu rampasan aset Petronas dibahaskan. Penggantungan itu tamat hari ini.

Awal tahun ini, waris kesultanan Sulu memperoleh anugerah arbitrasi terhadap Malaysia berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).

Susulan itu, mereka menuntut menguatkuasakan keputusan itu dengan merampas dua anak syarikat Petronas di Luxembourg pada 11 Julai lalu.

Keesokan harinya, Malaysia telah memperoleh penangguhan pelaksanaan atas keputusan itu daripada Mahkamah Rayuan di Perancis.

Lihat Komen
ADS