Kerajaan sepatutnya menambah peruntukan untuk membantu rakyat Sabah mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik berbanding menaikkan gaji menterinya, kata aktivis daripada dua NGO di negeri itu.

Semalam DUN Sabah meluluskan rang undang-undang untuk menaikkan saraan ketua menteri, Adun dan anggota pentadbiran negeri yang lain.

Usul untuk Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 yang dibentangkan oleh ketua menteri Hajiji Noor, diluluskan dengan majoriti lebih 73 undi.

Kali terakhir pelarasan gaji itu dibuat ialah pada 2014, yang menyaksikan kenaikan 50 peratus.

“Ini berlaku secara mendadak, sedangkan semakin ramai keluarga terkesan akibat kenaikan kos sara hidup dan harga barang yang melambung tinggi,” kata Kanul Gindol dari Gindol Initiative for Civil Society Borneo dan Daniel John Jambun dari Borneo's Plight in Malaysia Foundation (BoPiMaFo).

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata dakwaan bahawa kenaikan itu dibuat agar menteri di Sabah dapat menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat adalah pembohongan daripada kerajaan semata-mata.

“Ada menteri Sabah yang gajinya sudah melebihi RM50,000, RM80,000 sebulan, walaupun kenaikan terbaru ini masih belum dimasukkan.

“Mereka dibayar gaji sebagai Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan jawatan lain pada masa yang sama jika mereka memegang semua jawatan itu.

“Ini belum masuk lagi pendapatan mereka yang lain, mereka ada kuasa,” katanya.

Aktivis berkenaan berkata, kerajaan perlu menambah bantuan khas secara terus kepada keluarga B40 dan menyediakan peruntukan untuk membantu rakyat dari segi infrastruktur, bantuan kecemasan dan bantuan kilat, serta kualiti perkhidmatan kerajaan secara keseluruhan.

“Rakyat juga berhak mendapat kualiti hidup yang lebih baik, bukan hanya menteri.

“Berbandingpendapatan penoreh getah, nelayan kecil, petani, kakitangan bawahan khususnya golongan OKU, adakah golongan ini mendapat faedah setiap bulan daripada menteri-menteri ini, dengan kenaikan gaji ini?” soalnya.