MP Parit dilantik jadi pengerusi GLC
Ahli Parlimen Parit dua penggal Mohd Nizar Zakaria dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) berkuat kuasa 15 Julai.
Nizar akan menggantikan Adun Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha, yang menduduki jawatan itu sejak 2 April tahun lepas.
Haniza dipecat daripada PKR pada Jun 2020. Dia kini adalah timbalan presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), yang menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam satu kenyataan, SPNB berkata pelantikan baru itu akan membantu SPNB mencapai tahap yang lebih tinggi.
SPNB ialah pemaju perumahan yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Syarikat itu diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 3 Ogos 2018 apabila menterinya ialah Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.
Zuraida ialah bakal presiden atau "president-designate" PBM.

