FTA: Msia akan pertahan kedaulatannya, kata Najib
Malaysia akan tetap mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Malaysia akan tetap mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Untuk itu, katanya, kerajaan akan memastikan kepentingan, terutama mengenai urusan dalam dan luar negeri Malaysia, tidak akan tergadai.
"FTA dengan AS masih dalam peringkat rundingan. Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) telah menjelaskan kepada wakil AS mengenai pendirian negara.
"Kerajaan akan memastikan kedaulatan dan kepentingan negara, meskipun telah menandatangani FTA tersebut, tidak akan terjejas," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.
Sebelum itu, beliau merasmikan merasmikan Persidangan Antarabangsa Peradaban Melayu Kali Ketiga bertajuk Modal Insan Bersepadu Teras Bangsa Terbilang anjuran Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di ibu negara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, AS tidak ada hak menghalang Malaysia menjalinkan urusniaga perdagangan dengan mana-mana negara, walaupun setelah menjalinkan FTA dengan negara itu.
Pegangan M'sia
Sebelum itu, anggota kanan Kongres AS, Tom Lantos mendesak pentadbiran Presiden Geroge W Bush supaya menggantung rundingan dengan Malaysia sebagai memprotes tindakan negara ini menandatangani perjanjian projek pembekalan tenaga dengan Iran.
Mohd Najib berkata, ada beberapa aspek yang menjadi pegangan Malaysia yang perlu diterima AS dalam rundingan perjanjian FTA tersebut. Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan mengenai aspek tersebut.
Katanya, pendirian Malaysia itu telah dimaklumkan kepada perwakilan AS sejak rundingan peringkat awal dimulakan.
"Begitupun, kita tidak boleh melihat FTA dari aspek negatif semata-mata, kerana ia juga memberi banyak faedah kepada kemajuan negara, terutama dalam kemajuan ekonomi.
"Kemajuan teknologi, pendidikan dan pelaburan akan meningkat melalui FTA ini," katanya.

