Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU larang MP tukar parti demi kestabilan politik - Wan Junaidi

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu ini adalah demi kestabilan politik negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan undang-undang itu adalah langkah terbaik oleh kerajaan dalam mengelakkan negara berdepan krisis politik.

“Tidak sekali-kali (rang undang-undang ini dibuat) untuk menghalang orang mengamalkan demokrasi dalam Parlimen itu sendiri, (antara) tujuannya adalah mencerminkan kepada rakyat Ahli-Ahli Parlimen itu tidak berbuat sesuka hati sahaja dan (mereka) mesti ada prinsip.

“(Selain itu) yang penting sekali adalah hasrat rakyat untuk melantik seseorang itu untuk kekal mewakili kepentingan rakyat dan negara, itu sahaja dan dengan adanya undang-undang ini, kita berharap perkara itu (ketidakstabilan politik) tidak berlaku,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut merujuk beberapa negara yang mempunyai peruntukan undang-undang dalam menangani isu lompat parti termasuk United Kingdom, India, Singapura dan New Zealand.

Wan Junaidi berkata tujuan kerajaan mengadakan rang undang-undang itu juga adalah bagi menangani kemelut pertukaran kerajaan akibat wakil rakyat yang bertukar parti atas tujuan politik dan peribadi.

“Tujuan kita supaya mengelakkan jangan berlaku (lagi) kerajaan (persekutuan) bertukar sampai tiga kali (dalam) satu penggal.

“Ini menjejaskan kestabilan dan dalam masa yang sama, kerajaan berdepan masalah ekonomi, penyakit (COVID-19) dan pelbagai lagi serta masalah orang ramai kesan (pasca) COVID-19 tetapi masa itu juga, (ada sesetengah) pihak gila berpolitik,” katanya sambil menambah menjelang pembentangan rang undang-undang itu, beliau akan mengadakan sesi libat urus pada 25 Julai membabitkan Ahli Parlimen kerajaan dan 26 Julai bagi Ahli Parlimen pembangkang.

“Saya sudah cuba yang terbaik, saya dah jumpa semua pemimpin, saya dah hantar surat kepada semua Ahli Dewan Rakyat termasuk Perdana Menteri… (saya sebagai) Menteri di Jabatan Perdana Menteri memohon semua untuk hadir bagi pembentangan rang undang-undang ini,” katanya ketika ditanya mengenai jangkaan sokongan Ahli Parlimen terhadap rang undang-undang itu.

Beliau berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu mendapat sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

Pada 14 Julai lepas, Wan Junaidi memaklumkan Kabinet telah meluluskan draf Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Beliau berkata pembentangan dan perbahasan rang undang-undang itu akan diteruskan dalam sesi Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14 mengikut garis masa seperti dirancang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS