Sebuah syarikat perladangan yang dikaitkan dengan keluarga diraja Johor mungkin telah membuka hutan berhampiran Endau walaupun sebelum mendapat kelulusan yang diperlukan.

South China Morning Post (SCMP) membuat dakwaan berkenaan dalam laporannya yang memetik imej satelit sebagai bukti.

Imej menunjukkan plot PTD 4118 telah dibersihkan selama "berbulan-bulan" sebelum perunding yang menyediakan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) dilantik.

Penduduk tempatan memberitahu SCMP bahawa hutan itu pernah menempatkan gajah, kijang, ungka dan burung enggang.

Gambar hiasan.

Laporan itu menambah aktiviti pembersihan hutan berterusan walaupun ketika akhirnya perunding hadir untuk meninjau hidupan liar dan mengambil sampel air bawah tanah.

Dua minggu lalu, laporan EIA akhirnya siap dan diumumkan kepada umum.

Jabatan Alam Sekitar memberitahu SCMP hari ini bahawa siasatan terhadap kawasan berkenaan telah pun dimulakan.

Kaitan keluarga diraja

"Jika ada kesalahan, maka tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pihak berkenaan," kata Jabatan Alam Sekitar, petik laporan SCMP.

Pada masa itu, menurut SCMP, tapak seluas 3,775 hektar itu telah pun dibersihkan sepenuhnya dan saluran pengairan telah digali.

Menurut laporan SCMP, EIA telah dikomisenkan oleh firma AA Sawit yang berhasrat membangunkan ladang kelapa sawit di tanah tersebut.

Pegangan majoriti syarikat itu dimiliki oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan anaknya Tunku Ismail Idris.

Laporan itu berkata Sultan Ibrahim telah menguasai empat dari enam bidang tanah yang terlibat dalam projek itu - termasuk kawasan yang dahulunya hutan PTD 4085 dan PTD 4118 - pada April 2018.

Syarikat AA Sawit, Istana Johor dan kerajaan Johor tidak menjawab permintaan SCMP untuk mendapatkan maklum balas dalam laporan itu.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan bahawa ia tidak pasti sama ada AA Sawit, atau pihak lain yang melakukan pembersihan hutan.

Konflik manusia-hidupan liar

Laporan itu mendakwa masalah alam sekitar sudah wujud di kawasan berkenaan yang menyebabkan terjadi konflik antara manusia dan hidupan liar.

Penduduk tempatan memberitahu SCMP bahawa gajah yang kehilangan habitatnya telah merosakkan tanaman dan menyebabkan kematian seorang penduduk Kampung Labong tahun lepas.

Terdapat juga aduan ladang sedia ada telah menyebabkan sungai tidak dapat digunakan dan kadangkala dicemari dengan warna seperti "kopi hitam".

Beberapa aktivis yang ditemu bual oleh SCMP berkata pihak berkuasa mesti menolak laporan EIA dan mendakwa pesalah kerana aktiviti yang berlaku di kawasan hutan berkenaan sebelum laporan itu selesai.

Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang melanggar syarat-syarat EIA boleh didenda sehingga RM100,000.

[Baca berita asal]