Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Eksport minyak masak polibeg dihenti serta merta - Annuar

Sebarang pengeksportan minyak masak dalam bentuk polibeg dihentikan berkuat kuasa serta merta, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa.

Beliau berkata langkah tersebut bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan dengan minyak masak bersubsidi yang turut dijual dalam bentuk polibeg.

“Apabila ada pengeksport yang mengeksport minyak masak dalam bentuk yang hampir serupa, ia menimbulkan masalah kepada penguat kuasa.

“Maka, tidak akan dibenarkan lagi sebarang eksport minyak masak dalam bentuk polibeg...mesti dieksport dalam bentuk lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Annuar berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berunding dengan pihak-pihak berkaitan, terutamanya yang mengeluarkan lesen eksport minyak masak dalam bentuk polibeg.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata KPDNHEP akan menetapkan harga tersebut berdasarkan pelarasan bagi mengekalkan margin keuntungan tertentu dan memastikan tidak berlaku pengambilan untung berlebihan.

Terdahulu harga minyak masak botol dijangka akan turun dalam masa terdekat, selari dengan penurunan harga minyak masak mentah dari RM7,000 per tan kepada RM3,600 per tan minggu ini.

Sehubungan itu pengilang dan peniaga diminta untuk menurunkan harga minyak masak di dalam botol selaras dengan penurunan tersebut.

Bagaimanapun Annuar berkata, tinjauan ke dalam pasaran mendapati penurunan harga minyak masak tersebut agak perlahan.

“Kita dapati sebelum ini sewaktu minyak sawit naik peniaga telah naikkan harga mereka, apabila minyak masak turun, kita dapati penurunan harga agak perlahan, boleh saya katakan agak ‘liat’ untuk segerakan proses penurunan harga, walaupun mereka memberikan alasan masih menjual stok lama, tetapi kita rasakan alasan ini tidak adil,” katanya.

Justeru katanya kerajaan tidak boleh membiarkan industri berjalan dalam situasi yang tidak dikawal selia dengan baik, terutama setelah dua minggu ruang diberikan untuk pihak terbabit menurunkan harga.

“Ia memerlukan tanggungjawab dan kebersamaan. Soal kenaikan harga barang terutama yang membabitkan keperluan orang ramai jangan dipandang ringan, minyak masak sangat diperlukan seperti juga ayam, telur, beras dan sebagainya, oleh itu sebarang kenaikan harga tak boleh secara mengenakan margin keuntungan yang tinggi,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS