Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar: Ada negara berjaya turunkan inflasi lepas potong gaji menteri?
Diterbitkan:  Jul 25, 2022 10:07 PM
Dikemaskini: 2:07 PM

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa mencabar pihak yang mencadangkan agar gaji anggota kabinet dipotong, agar menamakan negara yang berjaya menurunkan kadar inflasi setelah melaksanakan langkah itu.

Bercakap dengan pemberita di Parlimen, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia membayangkan walaupun gaji setiap menteri dipotong, jumlah penjimatannya tidak memadai untuk mengubah keadaan.

"Bolehkah anda namakan satu negara yang berjaya turunkan inflasi dengan (menteri) potong gaji?" soalnya dalam sidang media hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya pemberita jika dia melihat cadangan agar gaji menteri dipotong adalah sesuatu yang bagus bagi mendepani inflasi di Malaysia.

"Kedua, katakan anda potong RM10,000 dari setiap menteri, gandakan dengan 36 (jumlah menteri dalam kabinet), berapa yang anda dapat?

"Bolehkah anda beri jaminan kepada saya yang inflasi akan selesai (dengan cara ini)? Harga barang tak (akan) naik?

"Tolonglah, jangan main politik," kata Annuar.

Annuar dan beberapa lagi anggota pasukan khas mengadakan sidang media untuk memberi kemas kini susulan mesyuarat mereka hari ini, termasuk perkembagan siasatan kes penyeludupan minyak masak subsidi ke negara jiran.

Sebelum ini, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz mencadangkan gaji menteri dipotong sebagai tanda empati terhadap negara ketika rakyat bergelut keadaan ekonomi semasa.

Himpunan Turun yang diadakan Sabtu lalu bagi membangkitkan isu kenaikan harga barang juga menyuarakan gesaan yang sama.

Lihat Komen
ADS