Empat badan bukan kerajaan dari Bosnia dan Herzegovina telah mencalonkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk hadiah Nobel bagi keamanan tahun ini.

Pencalonan Dr Mahathir itu adalah sebagai mengiktiraf kerja keras bekas Perdana Menteri itu dalam memperjuangkan hak dan nasib penduduk negara membangun.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Salam, Tan Sri Razali Ismail berkata, Dr Mahathir memang layak dicalonkan untuk hadiah tersebut.

"Tun Dr Mahathir memang layak dicalonkan kerana beliau benar-benar memperjuangkan aspirasi rakyat," katanya kepada Bernama hari ini.

Badan-badan bukan kerajaan dari Bosnia dan Herzegovina itu diketuai bekas naib presiden negara itu, Dr Ejup Ganic, yang menyifatkan Dr Mahathir sebagai tokoh paling cemerlang dan paling berani bagi negara-negara membangun.

Razali berkata, Dr Mahathir amat mengutamakan keamanan dan begitu lantang dalam pendiriannya menentang peperangan.

"Tidak banyak ketua kerajaan mampu bertindak seperti beliau," katanya.

Selain Dr Mahathir, yang turut dicalonkan tahun ini ialah bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Al Gore, tokoh runding keamanan dari Finland, Martti Ahtisaari, dan pejuang kebebasan dari China, Rebiya Kadeer.