Pegawai bank tak dapat sahkan wang RM63,800 milik peribadi Shahrir Samad
Saksi berkata transaksi kemasukan wang RM63,800 itu merupakan transaksi biasa yang tidak mencurigakan kerana ia bukan jumlah yang besar bagi akaun syarikat.
Disoal Shazreen jika berlaku keadaan yang mencurigakan dalam transaksi melibatkan cek, pihak bank ada hak untuk tidak meneruskan transaksi berkenaan, Tan menjawab: Betul.
Shazreen: Baki terakhir dalam akaun Public Bank itu adalah RM529.60 sebelum wang RM63,800 masuk ke dalam akaun bank berkenaan. Adakah kemasukan RM63,800 itu secara tiba-tiba, adalah sesuatu yang mencurigakan?
Tan: Tidak, kerana syarikat itu sebuah syarikat pembinaan dan mungkin dapat pembayaran untuk kontrak.
Disoal semula Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat, saksi menyatakan, beliau hanya boleh mengesahkan terdapatnya kemasukan wang namun tidak boleh mengesahkan sumber wang tersebut.
Sementara itu, Penolong Pengurus Cawangan Malayan Banking Berhad, Salniza Abdul Rahman, 49, memberitahu mahkamah terdapat kemasukan wang RM10,000 melalui sekeping cek ke dalam akaun Maybank Umno Cawangan Taman Kebun Teh, Johor pada 10 Dis 2013.
Menurut saksi pendakwaan keempat itu, akaun Umno cawangan itu dikendalikan tiga individu iaitu Shahril @ Shahrir Ab Samad selaku Ketua Cawangan ketika itu, Bendahari cawangan Murad Mohd Taib dan Setiausaha Mohd Salaehudin Ali.
Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.
- Bernama

