Mahkamah S'pura denda LFL kerana semakan hukuman mati
Mahkamah Rayuan Singapura memerintahkan kumpulan hak undang-undang Malaysia, Lawyers for Liberty (LFL), membayar kos guaman sebanyak S$1,000 kerana “menyalahgunakan” proses mahkamah dalam usahanya menghentikan hukuman mati ke atas dua pengedar dadah, termasuk rakyat Malaysia, Pausi Jefridin.
Menurut laporan Straits Times, mahkamah terbabit mendapati LFL menyalahgunakan sistem apabila memfailkan usul jenayah bagi mendapatkan semakan keputusan awal yang mengekalkan hukuman mati ke atas Pausi dan warga Singapura, Roslan Bakar.
Menurut mahkamah, prosedur itu "tidak ada untuk digunakan organisasi swasta untuk tujuan sendiri" dan mendapati matlamat LFL bekerjasama dengan Pausi dan Roslan menjadi pemohon adalah agar "mendapat publisiti bagi pemansuhannya", merujuk kepada kempen kumpulan itu menentang hukuman mati.
Mahkamah memutuskan usul yang difailkan oleh kedua-dua mereka bersama LFL menyebabkan Peguam Negara Singapura menanggung kos yang tidak perlu dalam kedua-dua prosiding.
Peguam Charles Yeo yang mewakili Pausi dan Roslan juga diperintahkan membayar kos sebanyak S$4,000 kepada Peguam Negara Singapura.
Kedua-dua lelaki terbabit ditahan pada 2008 sebelum dijatuhi hukuman mati pada 2010 atas tuduhan mengedar dadah.
Pada asalnya mereka dijadualkan dihukum gantung pada 16 Feb lalu, tetapi ditangguhkan apabila Yeo memfailkan usul jenayah bagi mendapatkan semakan keputusan mahkamah tertinggi negara berkenaan.
Semakan itu telah ditolak pada 15 Feb dan Yeo kemudian memfailkan permohonan sivil untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengisytiharkan hukuman mati itu tidak mengikut perlembagaan.
Ia kemudian ditolak pada hari berikutnya.
Pelaksanaan hukuman mati itu telah dihentikan buat sementara waktu apabila Presiden Singapura Halimah Yacob mengeluarkan perintah penangguhan.
Seksyen 313(h) Kanun Tatacara Jenayah Singapura membenarkan presiden negara itu memerintahkan penangguhan hukuman mati dan kemudian menetapkan masa atau tempat lain untuk pelaksanaannya.

